Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan dan Antarabangsa FedEx Corporation, Richard Smith (lima dari kiri) di Putrajaya pada 30 Mei 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

FedEx cadang kembang perniagaan di Malaysia, lonjak kerjasama pertumbuhan ekonomi

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Syarikat pengangkutan multinasional FedEx bercadang mengembangkan perniagaannya di Malaysia terutama melibatkan kemudahan sedia ada di beberapa lapangan terbang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berkata perkara itu dibincangkan ketika beliau menerima kunjungan hormat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan dan Antarabangsa FedEx Corporation, Richard Smith di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

“Kemudahan yang dimiliki FedEx di Malaysia kini melaksanakan lebih 30 penerbangan dalam seminggu dengan menghubungkan industri tempatan kepada rangkaian global mereka di 220 negara dan wilayah,” katanya.

Perdana Menteri berkata dalam pertemuan itu, beliau turut mendapat maklum balas positif berkaitan pendekatan kerajaan dalam menterjemah agenda Ekonomi Madani yang digagaskan.

“Antara lain FedEx melihat cadangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai satu lonjakan kerjasama pertumbuhan ekonomi masa hadapan yang perlu dimanfaatkan,” katanya.

Anwar berkata FedEx adalah syarikat multinasional dalam bidang pengangkutan, e-dagang dan perkhidmatan perniagaan yang telah bertapak di Malaysia sejak 1993.

– BERNAMA


Pengarang :