Orang ramai mendengar syarahan Sama’ Sifat Nabi SAW dan Ijazah Hadis Musalsal disampaikan oleh bekas Mufti Besar Mesir Dr Ali Jum’ah ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Festival Turath Islami siri kedua buka tirai 26 Mei, 30,000 dijangka hadir

SHAH ALAM, 3 MEI: Festival Turath Islami siri kedua bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dijadual membuka tirainya 26 Mei ini.

Dato’ Menteri Besar berkata festival yang berakhir 2 Jun depan diisi dengan 12 acara utama bagi menghidupkan warisan Islam dijangka menarik 30,000 penyertaan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menambah, festival kali ini mengangkat karya ulama penting dunia Islam, Muhyiddin Abu Zakaria Yahya Sharaf al-Nawawi atau dikenali sebagai Imam Nawawi

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika mengadakan sidang media di Dewan Annexe, Shah Alam pada 3 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Bekas mufti agung Mesir Al-Imam Dr Ali Jum’ah akan memimpin pengajian kitab Hadis Empat Puluh karangan Imam Nawawi serta seminar antarabangsa berkenaan kitab beliau yang lain, iaitu Riyadhu al-Solihin, Tausiyah Perdana.

“Festival berkenaan akan turut disertai kira-kira 23 ulama besar, tokoh agamawan dan akademik dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura yang sebahagiannya sudah menyatakan pengesahan (hadir),” katanya.

Bercakap dalam sidang media di sini hari ini, Amirudin yakin penyertaan tahun ini dijangka meningkat tiga kali ganda berbanding 10,000 orang tahun lalu berikutan beberapa nilai tambah dalam festival itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut serta berzikir bersama bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Juma’ah ketika Majlis Zikir Darul Ehsan sempena Festival Turath Islami di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Penganjuran festival kali kedua tahun ini adalah petanda komitmen Kerajaan Negeri untuk menyebarkan dan menghidupkan warisan turun-temurun Islam.

“Turath atau warisan Islam khususnya warisan ilmiah adalah obor penyuluh yang dapat memberi pedoman kepada kita bagi mengharung dunia semasa yang penuh pancaroba,” katanya.

Bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah menyampaikan syarahan Sama’ Sifat Nabi SAW dan Ijazah Hadis Musalsal ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin berkata penganjuran festival itu juga merupakan kelangsungan bagi banyak kegiatan menjulang khazanah keilmuan Islam yang sedang digerakkan Kerajaan Negeri.

“Ia termasuk usaha pentejermahan dan penerbitan karya agung Imam Al-Ghazali, Ihya’ Ulumuddin yang sebahagiannya sudah siap diterjemah dan diterbitkan dalam bentuk kitab 5 jilid yang akan dilancarkan semasa festival nanti,” katanya.

Festival ini terbuka kepada orang ramai dan pendaftaran boleh dibuat mulai hari ini menerusi laman web www.turathislamiselangor.com.

Orang ramai membeli buku keluaran Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) ketika Seminar Penghayatan Ihya’ Ulumuddin sempena Festival Turath Islami Selangor di Hotel Concorde, Shah Alam pada 22 Mei 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :