Orang ramai yang hadir ketika bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab mengupas kitab hadis 40 karya Imam An Nawawi sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 27 mei 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
SELANGOR

Festival turath kembalikan semula pembelajaran Islam ‘kulit ke kulit’

SHAH ALAM, 28 MEI: Festival Turath Islami Selangor yang menghimpun 12 acara termasuk kupasan kitab Hadis 40 mengembalikan semula warisan pembelajaran Islam ‘kulit ke kulit’.

Pengerusi program Ammar Gazali berkata kaedah telaah satu persatu muka surat itu mampu memberi pengalaman penting terutama kepada anak muda.

“Menerusi festival ini, kita ada suasana keilmuan menarik yang mana pengajian daripada kulit ke kulit bukannya sekadar ringkasan buku teks atau ceramah-ceramah yang biasa didengar.

Pengarah Festival Turath Islami Selangor, Ammar Gazali

“Bukan itu sahaja, kita bawa tokoh agama terkenal iaitu bekas mufti besar Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah yang mempunyai pengalaman dan ilmu sangat luas.

“Dengan pembelajaran kulit ke kulit ini, generasi muda diharap dapat meneruskan tradisi kaedah ini di masjid dan surau,” katanya menerusi program temu bual di TV Alhijrah hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemilihan karya Imam Al-Nawawi atau al-Arba’in al-Nawawiyah iaitu kitab Hadis 40 dan Riyadhus Solihin berikutan ia sering diajar di seluruh dunia.

“Di seluruh dunia, kitab Hadis 40 amat popular diajar di masjid-masjid dan menariknya kali ini ia dikupas Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah dalam suasana bertalaqqi.

“Tidak semua dapat belajar di Timur Tengah dan dengan adanya peluang ini orang ramai perlu hadir membawa keluarga untuk mendalaminya bersama tokoh-tokoh agamawan lain,” katanya.

Bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab ketika sesi Daurah kitab hadis 40 karya Imam An Nawawi sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 27 mei 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Festival Turath Islami Selangor yang mengembangkan warisan keilmuan Islam memasuki tahun kedua bermula Isnin hingga 2 Jun dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Bermula dengan kupasan kitab Hadis 40 oleh Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah, antara pengisian lain ialah Pameran Al-Wahyu, forum bertajuk Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu menampilkan ahli panel Ustaz Muhamad Abdullah, Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria dan Ustaz Mohamad Aizuddin Abdul Aziz.

Bertema Mendalami Khazanah Kitab Islam, maklumat program, lokasi serta pendaftaran boleh dibuat menerusi http://www.turathislamselangor.com atau Facebook Festival Turath Islami Selangor.


Pengarang :