Antara orang ramai yang hadir di Pameran Al-Wahyu pada Festival Turath Islami Selangor 2024 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 26 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Festival turath: Pameran Al-Wahyu beri pendedahan kepada umum

SHAH ALAM, 28 MEI: Pameran Al-Wahyu dalam Festival Turath Islami Selangor memberi pendedahan positif berhubung warisan Islam kepada orang ramai.

Seorang guru, Aira Amin, 39, berkata tidak semua generasi sedar berhubung kewujudan dan sejarah manuskrip hasil tulisan tangan tokoh Melayu terdahulu.

“Program ini memang bagus dan wajar diketengahkan kepada umum, semua orang patut menghargai hasil tulisan tangan tokoh Melayu dahulu sebelum kita banggakan orang luar.

“Insya-Allah, festival berbaki lagi enam hari saya cadang untuk bawa rakan dan anak murid memanfaatkan pameran ini dengan membuat lawatan sambil belajar ke sini,” katanya kepada Selangorkini.

Manakala, seorang pelajar Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Universiti Kebangsaan Malaysia Srie Azrina Zulkifli, 40, mengakui kali kedua berkunjung ke festival tersebut.

“Ini kali pertama adanya Pameran Al-Wahyu yang mempamerkan manuskrip tokoh Melayu, sangat menarik dapat tengok lebih dekat.

“Cuma koleksinya agak terhad mungkin pada tahun akan datang boleh perbanyakkan lagi selain selitkan pengisian seperti pertandingan tilawah/syair/perbahasan bagi menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Selain itu, Ishak Othman, 52, sanggup datang dari Pulau Pinang sejak bermulanya festival siri pertama tahun lalu kerana minat dan mahu menambah ilmu.

“Tahun lepas saya datang agak lewat beberapa hari tetapi tahun ini sudah tiba dua hari awal sebelum festival kerana minat ingin tahu berkaitan manuskrip Islam, keris dan jenis aksara dahulu.

“Semoga inisiatif Kerajaan Negeri ini diteruskan lagi pada masa akan datang, merupakan pendekatan yang amat bagus untuk umat Islam memantapkan lagi ilmu warisan Islam,” katanya

Sementara itu, seorang warganegara China, Che Guo, 30, teruja mendengar dan melihat keunikan seni warisan Islam di pameran yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

“Saya datang sini bersama sekumpulan rakan sebenarnya mahu melihat keindahan masjid ini tetapi kebetulan pemandu pelancong kami bawa ke pameran ini.

“Kurator pameran juga menerangkan dengan jelas dan bagi saya ia sesuatu yang amat unik apabila tulisan arab al-Quran ditulis menggunakan tangan,” kata pelajar PhD Seni Kreatif Universiti Teknologi MARA, Shah Alam.

Manuskrip al-Quran yang dibawa dari Muzium Al-Quran Narrathiwat, Thailand itu merupakan manuskrip tulisan tangan Sheikh Nuruddin Ar-Raniri berdasarkan penerangan pemiliknya Ustaz Lutfi.

Turut dipamer dalam Pameran al-Wahyu: Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu ialah kitab dari Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia dan koleksi individu.

Naskhah al-Quran bertinta emas yang dihasilkan ketika pemerintahan Sultan Terengganu ke-9, Sultan Ommar Muazzam Riayat Shah sekitar tahun 1800 juga diperaga.


Pengarang :