BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANRENCANAWAWANCARA

Hadis 40 rujukan dunia, Imam an-Nawawi melurus kefahaman ummah

Kitab Hadis 40 Imam an-Nawawi, atau al-Arba’in al-Nawawiyah, terus menjadi pegangan umat Islam di seluruh dunia. Kementerian Pendidikan mengangkat semula kitab ini sebagai teks pengajian di sekolah menengah.

Karya ulama besar bidang hadis dan pakar fikah mazhab Syafie itu menghimpunkan 42 hadis penting yang membahaskan perkara usul dan sendi agama. Himpunan ini mencakupi kehidupan umat Islam dari sudut akhlak, akidah, hukum dan amal soleh.

Karya beliau sangat popular sehingga diterjemah, dihafal dan dipelajari dalam pelbagai bahasa di universiti, masjid, pondok dan pesantren di seluruh dunia.

Nama asalnya Yahya bin Sharaf, Imam an-Nawawi hidup di Syria pada abad ke-13 ketika pemerintahan kerajaan Mamluk. Beliau mengarang kira-kira 50 karya pelbagai bidang termasuk hadis, akidah dan fikah.

Sepanjang hayatnya 45 tahun, beliau menghabiskan masa hampir tiga dekad mengarang lebih kurang 40 halaman setiap hari sejak usia 18 tahun.

Selain kitab Hadis 40, karya hebat Imam an-Nawawi termasuklah al-Minhaj, kitab syarah Sahih Muslim dan himpunan pelbagai hadis berkaitan ibadat, Riyadus Solihin.

Tepat dengan kehebatan ulama itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan pengajaran Hadis 40 Imam an-Nawawi di hujung Festival Turath Islami Selangor di Shah Alam pada 26 Mei 2023.

Untuk 12 sesi pengajian di Festival Turath Islami Selangor, antara 26 hingga 30 Mei, buku 40 Hadis Imam Nawawi: Sebuah Huraian untuk Dunia Semasa karya bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab dijadikan teks utama.

Kitab huraian Ahli Majlis Tertinggi Ulama Universiti al-Azhar itu menumpukan nilai yang dibawa Rasulullah SAW dengan memperbetulkan salah faham masyarakat, misalnya perintah Allah untuk memerangi manusia supaya beriman.

Wartawan ABDUL RAHIM SABRI mewawancara penterjemah kitab itu Syukry Syaqireen Sarjimin, ketua lajnah penterjemahan Akademi Pemikiran Turath Al-Mustanir, pada 13 Mei.

Kenapa pilih buku tulisan syarahan Hadis 40 karangan Dr Ali Jum’ah untuk diterjemah?

Ia bermula daripada Festival Turath Islami Selangor yang pertama pada tahun lepas. Apabila Dr Ali Jum’ah sendiri yang mencadangkan agar Hadis 40 dijadikan sebagai sebuah silibus dan diajarkan kepada semua peringkat masyarakat.

Perkara ini disambut baik oleh perdana menteri kita Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dr Ali Jum’ah memaklumkan bahawa beliau ada mensyarahkan Hadis 40 Imam Nawawi dan menyerahkan syarahan tersebut kepada Akademi Pemikiran Turath al-Mustanir selaku wakil rasmi beliau di Malaysia untuk diterjemah.

Bagaimana proses awal menterjemah kitab ini?

Bermula dengan perjumpaan dengan pihak IBDE dan menyusun jadual terjemahan serta semakan. Saya memulakan dengan menterjemah syarahan 10 hadis awal.

Apakah cabaran menterjemah karya sama ada dari segi bahasa dan lain-lain?

Cabaran dari sudut masa kerana komitmen-komitmen lain yang mendatang.

Apa ilmu baharu yang diperoleh ketika proses terjemah karya itu?

Ilmu dalam meringkaskan makna hadis yang panjang dan diterangkan dalam bahasa yang mudah. Inilah antara ciri-ciri yang ada dalam syarahan arbain (Hadis 40) Dr Ali Jum’ah.

Berapa lama proses terjemahan?

Bermula September 2023, kami adakan perbincangan dengan pihak IBDE, sehingga Mac 2024. Kemudian ada beberapa tempoh terberhenti seketika terjemahan atas sebab-sebab tertentu.

Apa pengajaran dalam karya ini yang boleh dijadikan iktibar kepada pembaca?

Kepentingan dalam memahami hadis-hadis utama baginda Nabi SAW untuk dijadikan panduan hidup. Keluasan agama Islam dalam segenap aspek di samping dibatasi syariat Islam mengikut aturan Allah dan Rasul-Nya (dan) keperluan untuk mendalami hadis Nabi mengikut pemahaman para ulama yang muktabar.

Ada bab yang beri kesan emosi?

Hadis terakhir (hadis ke-42) hadis ini menerangkan luasnya pengampunan dan rahmat Allah. Walaupun ringkas, tetapi sangat membekas dalam diri.

Bahagian mana paling menarik dalam kitab ini?

Kesemuanya menarik. Namun, suka untuk saya sebutkan seperti yang disebutkan oleh Dr Ali Jum’ah bahawa hadis 1, 6 dan 12 dikira sebagai paksi utama dalam agama Islam.

Mengapa setiap rumah perlu ada kitab ini?

Kesemua 42 hadis di dalam Hadis 40 Imam Nawawi menggambarkan agama Islam secara keseluruhannya. Maka, ia sangat sesuai dijadikan sebagai asas dalam pembentukan muslim yang sejati. Jika isi rumah itu adalah sebuah keluarga.

Maka kita dapat membina sebuah keluarga yang tinggi kesedarannya dalam agama. Jika isi rumah itu adalah rakan-rakan, maka kita dapat membina lingkungan generasi yang faham agama dengan baik.


Pengarang :