Pemain negara Tey Hong Yu beraksi ketika menentang pemain Thailand Leonard Piyachai pada kategori bawah 15 tahun berpasukan pada Kejohanan Pingpong 28th Asia Tenggara Baker’s Cottage 2024 di Arena Tan Sri Hamzah Majlis Olimpik Malaysia (OCM) pada 13 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Hong Yu muncul juara Kejohanan Pingpong Remaja Asia Tenggara

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Pemain ping pong remaja lelaki negara Tey Hong Yu mengungguli Kejohanan Pingpong Remaja Asia Tenggara (SEA) 2024 dalam acara perseorangan di Kompleks Sukan Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini.

Pada aksi final kategori lelaki bawah 15 tahun (B-15) yang berlangsung di Arena Tan Sri Hamzah itu, menyaksikan Hong Yu mendominasi perlawanan selepas menundukkan rakan senegara Lee Hong An 15-13, 11-4, 11-9, 8-11, 11-7.

Terdahulu, atlet berusia 14 tahun kelahiran Selangor itu menempah slot ke final selepas menewaskan seorang lagi wakil negara Lai Yong Ren 8-11, 11-3, 11-13, 13-11, 9-11, 11-4, 11-7 di peringkat separuh akhir yang berlangsung pada sebelah pagi.

“Kejayaan dua emas pada kejohanan remaja SEA dalam masa sama memperbaiki pencapaian lepas apabila saya hanya berjaya meraih perak (beregu) dan gangsa (berpasukan),” katanya semasa ditemui di sini hari ini.

Beliau berharap kejayaan diraihnya bakal menjadi motivasi diri untuk mewakili negara di Sukan SEA Kuala Lumpur 2027.

“Saya ada masa tiga tahun lagi, jadi beraksi di Sukan SEA adalah satu impian,” katanya.

Dalam pada itu, bagi kategori perempuan, hasrat untuk melihat wakil remaja wanita negara Cheah Yu Zheng di final tidak kesampaian selepas tewas 11-5, 11-9, 16-14, 5-11, 12-14, 3-11, 5-11 menentang wakil Thailand, Chisa Cachamit di separuh akhir.

Bagi kategori bawah 19 tahun (B-19), pemain remaja wanita negara Low Yu Xuan pula terkandas di separuh akhir menentang wakil Thailand, Phatsaraphon Wonglakhon 5-11, 9-11, 9-11, 9-11.

Isnin lepas, skuad ping pong lelaki B-19 dan B-15 negara mencipta sejarah apabila buat pertama kali mengungguli kejohanan bagi acara berpasukan sekali gus layak membawa cabaran negara ke Kejohanan Remaja Asia 2024 yang akan berlangsung pada 30 Jun hingga 6 Julai di Chongqing, China.

Kejohanan yang berakhir hari ini itu menarik minat sembilan negara yang bertanding iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam selain Malaysia selaku penganjur.

– BERNAMA


Pengarang :