EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah bercakap kepada media selepas majlis penyerahan sumbangan Yayasan Telekom Malaysia (TM) Selangor kepada asnaf dan ibu tunggal DUN Seri Setia di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Petaling Jaya pada 4 April 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO arah siasat kes pengunjung masjid berpakaian logo kepartian

SHAH ALAM, 11 MEI: EXCO Hal Ehwal Agama Dr Fahmi Ngah mengarahkan siasatan dibuat terhadap kejadian pengunjung berpakaian berlogo parti politik ketika berada di Masjid Bandar Utama Barang Kali.

Meminta semua pihak bertenang dan tidak mengeruhkan keadaan, beliau melalui kenyataan semalam berkata tindakan wajar diambil jika berlaku pelanggaran garis panduan dalam insiden kelmarin.

Beliau juga menyeru jemaah termasuk dari luar Selangor supaya mematuhi peraturan termasuk tidak berpakaian mengandungi nama dan logo parti atau gabungan parti politik di masjid.

“Ini selaras titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor agar masjid-masjid di Selangor tidak dijadikan pentas politik sebaliknya masjid haruslah menjadi penyatuan ummah,” katanya.

Menurut Facebook masjid itu, ahli jawatankuasa (AJK) menegur kumpulan pengunjung berpakaian logo parti yang mahu bersolat hingga menimbulkan salah faham sebelum tular di media sosial.

Tulisan berkenaan juga menyebut AJK berkenaan atas kapasiti individu juga menegur kelompok penyokong gabungan parti lain yang datang kemudian.

Bulan lalu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menegaskan masjid, surau dan sekolah bawah selian Jais kekal dilarang menjadi tempat berpolitik atau propaganda kepartian dalam pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu.

Menurut Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad, ketetapan tersebut selaras titah DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan arahan Majlis Agama Islam Selangor yang masih berkuat kuasa.


Pengarang :