Barisan panel program Munaqasyah Ilmiah bertajuk Sistem Pengajian Turath: Antara Pendekatan Tradisional dan Moden di Universiti Islam Selangor, Bandar Seri Putra, Kajang pada 31 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Integrasi pengajian kitab kaedah moden, tradisional lahir ulama berwibawa

HULU LANGAT, 31 MEI:Pengajian kitab secara tradisional harus diseimbangkan dengan kaedah moden supaya tidak terputus kesinambungan mempelajari ilmu turath secara lebih mendalam.

Bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah berkata kaedah tradisional mendalami kitab tidak boleh diketepikan kerana terbukti melahirkan ulama berwibawa yang menjadi rujukan umat hingga sekarang.

Bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah ketika program Munaqasyah Ilmiah bertajuk Sistem Pengajian Turath: Antara Pendekatan Tradisional dan Moden yang diadakan di Universiti Islam Selangor, Bandar Seri Putra, Kajang pada 31 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Dulu jika belajar kitab ambil masa bertahun-tahun. Pergi rumah ke rumah, belajar hingga faham dengan beberapa guru.

“Jadi belajar kitab secara tradisional bersifat lebih mendalam berbanding sistem moden sekarang yang kurang menekankan kepada pemahaman kitab secara mendalam tetapi lebih kepada penghafalan.

“Bukan bermakna kita menolak kaedah moden tetapi ia perlu diseimbangkan seiring kaedah terkini yang turut merangkumi ujian pentaksiran dan sebagainya,” katanya dalam sesi Munaqasyah Ilmiah Sistem Pengajian Turath: Antara Pendekatan Tradisional dan Moden di Universiti Islam Selangor (UIS) hari ini.

Ulama tersohor Pattani Baba Ghazali Ahmad Al-Fathoni ketika program Munaqasyah Ilmiah bertajuk ‘Sistem Pengajian Turath: Antara Pendekatan Tradisional dan Moden’ yang diadakan di Universiti Islam Selangor, Bandar Seri Putra, Kajang pada 31 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Sementara itu ulama tersohor Pattani Baba Ghazali Ahmad Al-Fathoni berkata pengajian kitab secara tradisional seperti di pondok atau pesantren seperti di Indonesia berjaya melahirkan tokoh ilmuwan berkaliber.

“Ini kerana pengajian itu mengambil berat dan memfokuskan kepada kefahaman yang teguh mengenai sesebuah kitab. Oleh itu pemahaman pelajar yang dididik dengan sistem pondok tidak mudah terpengaruh dengan fahaman yang sesat,” katanya.

Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty berkata integrasi pengajian kitab cara tradisional antara moden penting bagi mengisi pelbagai kelompongan.

Pengerusi IKIM Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty Ketika program Munaqasyah Ilmiah UIS bertajuk ‘Sistem Pengajian Turath: Antara Pendekatan Tradisional dan Moden’ yang diadakan di Universiti Islam Selangor, Bandar Seri Putra, Kajang pada 31 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Contohnya sistem moden yang perlu diperbaiki adalah penguasaan bahasa Arab pelajar yang kini banyak merujuk kepada kitab terjemahan dan tidak menguasai bahasa Arab dengan baik.

“Belajar secara tradisional pula akan mengambil masa terlalu lama, jadi kelompongan ini boleh diatasi dengan pengintegrasian kedua-dua kaedah,” katanya.

Munaqasyah yang turut disertai beberapa panelis lain adalah sempena Festival Turath Islami Selangor 2024 yang memasuki tahun kedua berlangsung bermula Isnin hingga Ahad ini.

Bertemakan Mendalami Khazanah Kitab Islam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan acara dalam festival itu iaitu Seminar Penghayatan Riyadhu as-Salihin di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam esok.

Anwar juga dijadual terlibat dalam Perbualan khas: Imam Nawawi dan Riyadhu as-Salihin bersama bekas Imam Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah dan Pengarah Pusat Kajian Islam Quantum Akhyar Institute Dr Adi Hidayat.


Pengarang :