Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia Ts Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria memberi penerangan mengenai manuskrip kepada EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Dr Mohamad Fahmi Ngah pada majlis pembukaan Pameran Al-Wahyu di Festival Turath Islami Selangor 2024 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 26 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Istilah Al-Wahyu tingkat pengetahuan pengunjung festival turath

SHAH ALAM, 27 MEI: Istilah Al-Wahyu dipilih bagi pameran sempena Festival Turath Islami Selangor bertujuan memberi pengetahuan kepada pengunjung mengenai maksud perkataan tersebut.

Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia berkata istilah itu bukan hanya dikaitkan dengan al-Quran malah menggerakkan umat Islam.

“Setakat kita tahu baca (al-Quran) tetapi tidak mengkaji, seseorang itu tidak akan kemana. Justeru, menerusi Al-Wahyu umat Islam dahulu keluar daripada tanah Arab sebab wahyu.

“Mereka keluar sebarkan agama Islam sebab arahan daripada wahyu yang diterima Rasulullah SAW dan pada saya kita perlu mendalami Al-Wahyu dengan lebih meluas,” kata Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria.

Beliau berkata demikian menerusi Forum: Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu di Pameran Al-Wahyu sempena Festival Turath Islami Selangor di sini semalam.

Antara pengunjung Pameran Al-Wahyu sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Negeri, Shah Alam pada 26 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pameran itu memperaga manuskrip al-Quran bertulisan tangan berusia hampir 400 tahun yang dibawa dari Muzium Al-Quran Narrathiwat, Thailand.

Turut dipamer ialah kitab dari Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia dan koleksi individu.

Naskhah al-Quran bertinta emas yang dihasilkan ketika pemerintahan Sultan Terengganu ke-9, Sultan Ommar Muazzam Riayat Shah sekitar tahun 1800 juga diperaga.


Pengarang :