Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika mengadakan sidang media di Dewan Annexe, Shah Alam pada 3 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Isu gali kubur projek ECRL, negeri terus bincang dengan waris

SHAH ALAM, 3 MEI: Perbincangan lanjut akan diteruskan bersama waris berhubung pemindahan 90 lot kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata waris boleh mengemukakan pandangan menerusi jawatankuasa dibentuk meliputi Jabatan Agama Islam Selangor, pihak berkuasa tempatan dan ECRL.

“Kita akan teruskan perbincangan dengan pihak terbabit kerana majoriti bersetuju, yang belum setuju kita beri seminggu untuk berbincang dengan Jais, majlis tempatan dan ECRL,” katanya.

Ditemui dalam sidang media di Dewan Annexe di sini hari ini, beliau turut mengingatkan pembangkang supaya tidak mengambil kesempatan untuk mempolitikkan isu berkenaan.

Amirudin menegaskan projek pembinaan ECRL hanya diteruskan kerajaan perpaduan menerusi perancangan dan kelulusan yang dibuat ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

“Kalau ada unsur-unsur politik yang bawa pun Dr Halimah Ali (ahli parlimen Kapar). Projek ini zaman PN dahulu. Kita hanya ikut dan teruskan.

“Tiada persoalan hukum. Di mana-mana tempat berlaku dan ia memberikan maslahat (faedah) lebih penting kepada masyarakat terutama dalam hal pembangunan negara dan sebagainya,” katanya lagi.

Pada 30 April, Amirudin memaklumkan kerja penggalian dan pemindahan 90 lot kubur Islam di Selat Klang yang dijadual 1 Mei bagi projek ECRL ditangguh seminggu lagi.

Beliau menjelaskan penangguhan itu bertujuan memberi ruang kepada sebahagian lagi waris mendengar penjelasan lanjut berhubung perkara tersebut.

Laluan ECRL di negeri ini melibatkan jajaran sepanjang 90.72km melalui daerah Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Klang selain melalui sebahagian kesan tanah perkuburan Selat Klang.

 


Pengarang :