Ulama tersohor Pattani Baba Ghazali Ahmad Al-Fathoni menyampaikan Kuliah Maghrib bertajuk Pengenalan kepada Riyadhu Riyadhu As-Salihin Al-Nawawi sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Negeri, Shah Alam pada 29 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jadi insan soleh wajar miliki lima sikap terpuji, bentuk jati diri baik

SHAH ALAM, 30 MEI: Umat Islam wajar memiliki lima sifat terpuji sekiranya mahu menjadi insan yang baik, soleh dan bijaksana, kata ulama tersohor Pattani.

Baba Ghazali Ahmad Al-Fathoni berkata sifat itu meliputi ikhlas, siddiq, amanah, tawaduk dan itsar (pentingkan orang lain) seperti penekanan yang diriwayatkan dalam kitab Riyadhu As-Salihin Al-Nawawi.

Beliau berkata, ilmu berkenaan turut menjadi pegangannya dalam mendidik anak murid selain turut menghebahkan dalam ceramah demi menerapkan sifat terbabit dalam kehidupan.

Ulama tersohor Pattani Baba Ghazali Ahmad Al-Fathoni menyampaikan Kuliah Maghrib bertajuk Pengenalan kepada Riyadhu Riyadhu As-Salihin Al-Nawawi sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Negeri, Shah Alam pada 29 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Mahu jadi baik, kena ikhlas. Kalau tak ikhlas, jangan mengaku diri solehin, arif. Nak jadi seperti ini kena ikhlas. Kedua siddiq-bercakap benar.

“Kita kena ada sifat ini. Jangan berbohong sama ada bercakap, menulis, WhatsApp. Kena bercakap betul. Ketiga kena amanah, jangan khianat.

“Keempat kena tawaduk dan terakhir itsar. Pentingkan orang lain berbanding diri sendiri. Bawak lima sifat ini untuk bentuk jati diri yang baik. Jadi rakyat Malaysia, buatlah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliah Maghrib sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini malam tadi.

Antara orang ramai yang hadir pada Syarahan Perdana bertajuk ‘Kepentingan kitab turath dalam sejarah nusantara dan masa kini’ sempena Festival Turath Islami Selangor di Dewan Solat Utama, Masjid Negeri, Shah Alam pada 29 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Festival kali kedua ini berlangsung sejak Ahad hingga 2 Jun dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melibatkan kerjasama pelbagai pihak.

Dimulakan dengan kupasan Kitab Hadis 40 oleh bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah dan Pameran Al-Wahyu yang membawa manuskrip tulisan tangan berusia ratusan tahun.

Turut berlangsung forum bertajuk Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu yang menampilkan ahli panel Ustaz Muhamad Abdullah, Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria dan Ustaz Mohamad Aizuddin Abdul Aziz.

Bertema Mendalami Khazanah Kitab Islam, maklumat program, lokasi serta pendaftaran boleh dibuat menerusi  www.turathislamiselangor.com  atau Facebook Festival Turath Islami Selangor.

 


Pengarang :