Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad bergambar pada Majlis Pengisytiharan keputusan peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA) peringkat negeri Selangor tahun 2019 dan pelancaran Modul Pemberdayaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab di Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan teknologi (MITS) Negeri Selangor 2019 di -Dewan Syarahan Masjid Negeri, Shah Alam. 20 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGORSELANGOR

Jais: Pelajar persendirian ke Mesir, Jordan ditawar bantuan pengurusan

SHAH ALAM, 19 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menawarkan bantuan pengurusan kepada pelajar persendirian yang berhasrat melanjutkan pengajian ke Mesir dan Jordan.

Bantuan merangkumi penginapan di asrama anak Selangor di Mesir, penerbangan bersama pengiring, program pembangunan akademik serta kursus persediaan sebelum ke Timur Tengah.

Agensi itu memaklumkan tawaran kepada pelajar persendirian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dibuka hingga 30 Jun depan.

“Jais juga menyediakan kos pengurusan yang berpatutan dan tidak membebankan selain semua pelajar akan diuruskan melalui Bahagian Pendidikan Islam Jais,” katanya menerusi poster di Facebook.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan berikut https://epengajiantinggi.jais.gov.my.

Untuk maklumat lanjut hubungi talian 03-5514 3400 dan sambungan ke Unit Pengajian Tinggi dan Sepanjang Hayat Bahagian Pendidikan Islam Jais atau menerusi aplikasi WhatsApp 010-343 7054.

Pada Oktober tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyatakan hasrat untuk membangunkan penempatan pelajar kepada anak negeri yang menyambung pengajian di Mesir.

Susulan itu, Amirudin mengumumkan peruntukan RM200,000 pada pembentangan Belanjawan Selangor 2024 lalu, bagi kerja naik taraf Asrama Selangor di Mesir untuk keselesaan 156 mahasiswa.


Pengarang :