Aini Mohd Shariff, 57, menyiram air ke atas pusara anaknya Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said selepas dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Gambang, Kuantan pada 18 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jenazah Konstabel Muhamad Syafiq selamat dikebumikan ikut adat istiadat polis

KUANTAN, 18 MEI: Jenazah Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, selamat dikebumikan 5.50 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Batu 8 Gambang, Kuantan di sini hari ini.

Pengebumian Allahyarham dilaksanakan mengikut adat istiadat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan dihadiri ratusan orang yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan, penduduk kampung dan warga PDRM.

Sebelum pengebumian Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman menyerahkan Jalur Gemilang yang menutupi keranda Allahyarham kepada bapa wira negara itu, Ahmad Said Md Piah, 65.

Terdahulu, jenazah Muhamad Syafiq dibawa ke rumahnya di Taman Seri Mahkota Jaya, Gambang di sini untuk disembahyangkan dan diberi penghormatan terakhir oleh orang ramai selepas tiba sekitar 4.40 petang dari Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Yahaya yang mewakili warga IPK Pahang turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham dan berkata pihaknya turut berdukacita dengan pemergian Muhamad Syafiq.

“Bagi kontinjen Pahang, kita membantu keluarga Allahyarham dalam soal pengurusan jenazah hingga selesai dan apa jua bantuan yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata semua ketua polis daerah sudah diarahkan untuk memastikan balai di daerah masing-masing berada dalam keadaan siap siaga susulan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor semalam.

“Soal keselamatan sentiasa dititikberatkan dan dipertingkatkan,” katanya.

Dalam insiden serangan pada 2.45 pagi itu, Muhamad Syafiq dan rakannya Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, maut manakala seorang lagi anggota Koperal Mohd Hasif Roslan cedera ditembak dan dilaporkan stabil selepas dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Polis mengesahkan suspek lelaki berusia 21 tahun yang ditembak mati dalam kejadian itu disyaki ahli Jemaah Islamiyah.

– BERNAMA


Pengarang :