Penduduk mendapatkan barangan murah ketika Jualan Ehsan Rahmah DUN Meru di Masjid Al Falah Meru, Klang pada 15 Januari 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah bantu jimatkan kos sara hidup rakyat hingga 40 peratus

AMPANG JAYA, 21 MEI: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terbukti membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) untuk berjimat.

Perkara itu diakui Tilakawathe Balakrishnan, 29, yang dapat berjimat hingga 40 peratus berbanding berbelanja di pasar raya dan lebihan wang berkenaan digunakannya untuk menampung kos sara hidup yang semakin tinggi.

Tilakawathe Balakrishnan, 29,

“Program ini membantu aliran tunai rakyat untuk mendepani kos sara hidup kerana barangan dapur dijual di ini semuanya murah.

“Harap bekalan asas lain seperti sayur dan buah dapat ditambah untuk memenuhi keperluan rakyat terutama kurang mampu,” katanya yang sudah lima kali berbelanja di JER sejak tahun lalu.

Tilakawathe antara hampir 400 pengunjung JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah di sini yang sebahagian besarnya mula beratur sejak 8 pagi.

Pendapat sama turut dikongsi pesara Jamaludin Bidin, 63, yang menyifatkan Kerajaan Negeri sangat prihatin dalam membantu meringankan beban B40 sepertinya.

Jamaludin Bidin, 63,

“Saya hadir ke JER sejak 2021 ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan jualan murah ini sentiasa dapat sambutan penduduk.

“Namun saya berharap kuantiti bekalan dapat ditambah agar lebih ramai penduduk dapat manfaat,” katanya.

Selain itu, suri rumah Fatimah Hussin, 48, berkata beliau dapat berjimat setiap kali membeli bekalan asas dalam tempoh seminggu di JER.

Sementara itu, Ketua Kampung Pandan Dalam Syed Abdul Halim berkata lebih 350 nombor giliran diagihkan kepada penduduk beratur sejak 8.30 pagi meskipun jualan bermula pada 10.00 pagi.

Katanya, ayam dan telur antara barangan paling tinggi mendapat permintaan penduduk yang mengunjungi jualan murah di Dewan Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pandan Dalam, di sini.

Ketua Kampung Pandan Dalam Syed Abdul Halim

“Sebaik nombor selesai diagih, program diawalkan pada 9.30 pagi. Jualan murah hari ini kali ketiga dianjurkan sejak Ogos lalu telah manfaat lebih 1,000 penduduk.

“Penduduk sentiasa menantikan JER kerana mereka gembira berbelanja barangan asas pada harga murah yang membantu berjimat,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Sebelum ini, PKPS memaklumkan JER dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Tahun lalu PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 berikutan kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.

Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book Records( MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar sempena Aidilfitri.

 


Pengarang :