AGENDAJENAYAH

Kastam rampas 39 motosikal Skyteam, arak lebih RM1 juta

IPOH, 29 MEI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup 39 motosikal dan minuman keras pelbagai jenama bernilai lebih RM1 juta termasuk cukai dalam serbuan di sebuah gudang di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada 13 Mei lepas.

Pengarahnya Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata serbuan pada 3.30 petang itu dijalankan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Pengkalan Hulu, Perak.

“Hasil pemeriksaan menemukan 39 motosikal berjenama Skyteam pelbagai model disyaki barang belum lulus kastam dianggar bernilai RM1 juta termasuk cukai.

“Minuman keras pelbagai jenama itu pula dianggar bernilai RM356,383 termasuk cukai,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun turut ditahan, namun dia dibebaskan dengan jaminan selepas keterangannya direkodkan.

Menurut Abdul Ghafar hasil risikan mendapati motosikal yang diimport dari China itu masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Klang.

Kes melibatkan motosikal, katanya akan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 manakala minuman keras mengikut Seksyen 32 (1) Akta Eksais 1976.

-BERNAMA


Pengarang :