Skuadron Perisai 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rondaan di sepanjang Sungai Golok pada 7 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kawalan keselamatan balai polis, sempadan dipertingkat, tahap waspada lebih tinggi

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Kawalan keselamatan di balai polis seluruh negara terus dipertingkatkan dan sistem pertahanan sedia ada akan diperkemas susulan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram semalam.

Di Selangor, Ketua Polis Datuk Hussein Omar Khan berkata pegawai dan anggota di lapangan juga kini berada pada tahap kewaspadaan tinggi terutama mereka yang bekerja pada syif luar waktu pejabat.

“Kawalan di balai polis memang sentiasa dilaksanakan dan ada prosedur kawalan keselamatan cuma kadang-kadang kewaspadaan mungkin kurang sebab kita nak wujudkan suasana mesra pelanggan.

“Jadi selepas ini kita akan memperketat dan kemaskan lagi pemeriksaan untuk sesiapa yang masuk ke balai terutama pada waktu malam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata walaupun langkah itu mungkin mendatangkan kesulitan kepada orang awam berurusan di balai polis selepas waktu pejabat, namun pihaknya memberi jaminan suasana mesra pelanggan tetap diterapkan tetapi pada masa sama memastikan keselamatan anggota dan pegawai bertugas terjamin.

Di Kelantan, Ketua Polis Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kesemua 10 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), 57 balai dan 27 pondok polis di negeri itu diarahkan memperkemaskan sistem pertahanan sedia ada bagi memastikan kesiapsiagaan anggota.

“Persekitaran balai dan pondok polis termasuk di daerah bersempadan dengan Thailand juga akan dipertingkatkan tahap kesiapsiagaan,” katanya.

Menurutnya, ia termasuk sistem pencahayaan yang lebih terang agar mudah mengawasi sebarang pergerakan mencurigakan, selain memastikan Kompleks Perumahan Polis di negeri itu sentiasa dalam keadaan selamat.

Di Kedah, Ketua Polis Datuk Fisol Salleh berkata tahap keselamatan anggota dan pegawainya merupakan penekanan yang dititikberatkan sejak mula menggalas tugas sebagai Ketua Polis Kedah pada Jun tahun lalu.

“Penekanan keselamatan ini termasuk terhadap individu dan tempat mereka bertugas…anggota baharu juga memang sudah sedia diberi latihan semasa awal kemasukan mereka dahulu tetapi kita mantapkan lagi latihan mereka supaya tahu apa yang perlu dibuat sekiranya berdepan dengan situasi membahayakan keselamatan mereka,” katanya.

Katanya, tahap keselamatan di sempadan juga diberi penekanan termasuk agensi penguat kuasa yang lain bagi memastikan tidak berlaku aktiviti jenayah.

Di Sarawak, semua ketua jabatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) serta ketua polis daerah diarahkan meningkatkan kawalan keselamatan serta pertahanan balai polis di seluruh negeri itu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata mereka juga diminta untuk merancang pelan kawalan keselamatan yang lebih teliti.

“Saya juga sudah meminta mereka untuk memantau elemen yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas di kawasan masing-masing,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :