AGENDASUKANKINI

Kelab gergasi Jerman Borussia Dortmund bersolidariti untuk Faisal Halim

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Tragedi menimpa Faisal Halim terus mendapat perhatian keluarga bola sepak dunia apabila kelab gergasi Jerman Borussia Dortmund hari ini menyuarakan solidariti buat pemain sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC itu.

Solidariti terhadap Faisal Halim itu dibuat menerusi hantaran Facebook rasmi Borussia Dortmund yang mempunyai 15 juta pengikut di seluruh dunia.

“Faisal Halim adalah pemain sayap Selangor FC dan skuad utama Malaysia. Dia menjaringkan gol ke atas Korea Selatan pada kempen Piala Asia baru-baru ini. Jaringan 13 gol dan sembilan bantuan jaringan membantu Selangor FC muncul naib juara Liga Super musim lepas dan tempat di pertandingan pentas Asia 2024/2025.

“Berikutan berita terkini, Faisal diserang dan ditinggalkan dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, dengan ini, kami ingin memberi penjelasan mengenai keganasan dalam bola sepak. Hentikan keganasan. Kami berdiri bersama Faisal Halim,” menurut kenyataan finalis Liga Juara-Juara Eropah 2023/2024 itu.

Dortmund yang juga juara lapan kali liga Jerman (Bundesliga) akan bertemu gergasi Sepanyol Real Madrid di pentas final Liga Juara-Juara Eropah 2023/2024 di Stadium Wembley pada 2 Jun depan.

Sebelum ini, pemain sayap serta penjaga gol kelab Liga Perdana Inggeris Manchester United, Alejandro Garnacho dan Andre Onana menyatakan simpati dan memberikan kata-kata semangat buat Faisal Halim dalam satu program temu bual oleh sebuah televisyen swasta.

Pada 5 Mei lepas, Faisal Halim mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya dan kini sudah ditempatkan di wad biasa selepas kira-kira 10 hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Pemain berusia 26 tahun itu dijangka tidak dapat beraksi selama lima atau enam bulan, sekali gus terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

– BERNAMA


Pengarang :