Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain meninjau suasana pembuangan undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei 2024. Foto Facebook Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )
AGENDANASIONAL

KPN: Tiada laporan 3R diterima sepanjang kempen PRK KKB

HULU SELANGOR, 11 MEI: Polis tidak menerima sebarang laporan membabitkan isu 3R iaitu raja, agama dan kaum, sepanjang tempoh 14 hari kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) berlangsung.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata hasil pemantauan polis mendapati tiada isu sensitif dibangkitkan mana-mana pihak pada kempen berkenaan selain daripada isu pembangunan.

“Dari segi keselamatan, kebanyakan anggota dan pegawai memang sudah biasa mengurus dan menyusun atur keselamatan dan ketenteraman awam terutama sekali bagi pengundi dan petugas pilihan raya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri taklimat di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di sini hari ini.

Kempen PRK KKB bermula pada 27 April lepas iaitu selepas pengisytiharan calon bertanding, dan tamat pada 11.59 malam tadi.

Razarudin berkata 190 permit kempen telah diluluskan kepada parti dan individu yang bertanding pada PRK berkenaan.

PRK KKB menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

– BERNAMA


Pengarang :