Orang ramai beristirehat sambil kanak-kanak bermain di reruai Pavilion Selangor sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 30 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KPT agih e-baucar buku bernilai RM100 mulai esok hingga 31 Disember

PUTRAJAYA, 31 MEI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengagihkan e-baucar pembelian buku bernilai RM100 secara berfasa mulai esok hingga 31 Disember ini.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan bagi fasa pertama, KPT akan menawarkan 50,000 e-baucar sebagai menyokong Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024.

Menurut KPT, kod baucar akan dijana setelah semakan kelayakan dibuat di portal GREaT (Graduate Reference Hub for Employment and Training) di https://great.mohe.gov.my bermula esok pada 10 pagi.

Penebusan kod baucar yang terjana di portal GREaT hanya sah digunakan untuk pembelian buku secara dalam talian di platform BookCapital di https://bookcapital.com.my sahaja dengan setiap pelajar layak menebus baucar RM100 bagi sekali transaksi.

Inisiatif itu bakal memberikan manfaat kepada lebih 1.2 juta pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) warganegara Malaysia.

“Pemberian baucar ini adalah langkah tepat dalam membantu menerapkan budaya cintakan ilmu dan buku, sekali gus dapat membugar budaya membaca terutamanya dalam kalangan pelajar IPT,” menurut kenyataan itu.

Justeru KPT berharap inisiatif itu bukan sahaja dapat menyemarakkan budaya membaca malah bakal merancakkan industri buku akademik dan wacana ilmiah tempatan.

Menurut kementerian itu baki baucar buku bakal disalurkan pada fasa berikutnya dengan mekanisme yang akan diumumkan kelak.

Mengenai platform BookCapital, KPT memaklumkan pemilihan platform itu adalah di bawah kelolaan Perbadanan Kota Buku yang juga merupakan penganjur bersama PBAKL 2024 bertujuan memudahkan pengguna sepanjang berlangsungnya pesta buku berkenaan.

“Penggunaan platform lain akan digunakan pada fasa berikutnya,” menurut KPT.

– BERNAMA


Pengarang :