EXCO Pelaburan Ng Sze Han bersama delegasi dari Selangor yang menyertai Expo Kelestarian Teknologi Tinggi Tokyo 2024 di Tokyo pada 15 Mei 2024. Foto Facebook Ng Sze Han
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lapan syarikat pemula dari Selangor sertai Ekspo Kelestarian Teknologi Tinggi di Tokyo

SHAH ALAM, 16 MEI: Lapan syarikat pemula dari Selangor menyertai Ekspo Kelestarian Teknologi Tinggi Tokyo 2024  di Tokyo.

EXCO pelaburan berkata program itu merupakan perkongsian idea dan perbincangan bagi menangani isu global antara syarikat pemula di peringkat domestik dan antarabangsa seluruh dunia.

“Menerusi pertemuan dengan kerajaan metropolitan Tokyo, Kerajaan Negeri berkongsi idea kerjasama dua hala antara Selangor dan kerajaan Jepun.

“Ia juga bagi meningkatkan akses pasaran global untuk syarikat permulaan negeri menempa nama di persada antarabangsa,” kata Ng Sze Han menerusi Facebook.

Sze Han menjelaskan Jepun kini menjadi tuan rumah kira-kira 10,000 syarikat pemula, tiga kali lebih banyak berbanding Malaysia.

“Kerjasama ini adalah penting bagi Selangor untuk memanfaatkan ekonomi keempat terbesar di dunia itu. Kami berharap segala perbincangan dapat direalisasikan,” jelasnya.

Terdahulu, menerusi lawatan kerja itu Sze Han turut disertai Pegawai Kewangan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop.

Turut sertai Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad Yang Mulia Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim dan Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping.


Pengarang :