Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad (tiga kiri) memotong kek sebagai simbolik majlis sambutan hari ibu Pekawanis peringkat Selangor 2024 di Dewan Jubli Perak Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 18 Mei 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lebih 1,200 rumah dikunjungi Pekawanis tahun lalu, santuni asnaf, ibu tunggal

SHAH ALAM, 18 MEI: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) menziarah lebih 1,200 rumah sepanjang 2023 bagi menyampaikan sumbangan.

Yang dipertuanya Datin Seri Masdiana Mohamad berkata aktiviti itu menumpukan kediaman golongan sasar seperti asnaf dan ibu tunggal selain turut melibatkan program Ziarah Medik.

“Pekawanis turut memberi sumbangan perayaan sama ada dalam bentuk barangan atau wang ringgit serta bantuan Back To School.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad berucap pada majlis sambutan hari ibu Pekawanis peringkat Selangor 2024 di Dewan Jubli Perak Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 18 Mei 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Bagi program Ziarah Medik, ia melibatkan semua ahli Pekawanis untuk turun ke Dewan Undangan Negeri masing-masing menyantuni asnaf yang sakit,” katanya pada sambutan majlis Hari Ibu Pekawanis di sini hari ini.

Berlangsung di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK), majlis turut dihadiri Tengku Putri Datin Paduka Hajjah Arafiah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz.

Masdiana berkata sepanjang Ramadan lalu, pihaknya turut menjayakan program Ihya Ramadan melibatkan tujuh aktiviti utama membabitkan penyertaan pelbagai pihak termasuk penduduk setempat.

“Antaranya tadarus al-Quran dan majlis khatam perdana dihadiri Tengku Permaisuri Selangor Tengku Hajah Norashikin serta jelajah 7,000 bubur lambuk dengan kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI,” katanya.

Antara tetamu pada majlis sambutan hari ibu Pekawanis peringkat Selangor 2024 di Dewan Jubli Perak Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 18 Mei 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :