AGENDAJENAYAH

Lelaki warga asing maut bergaduh dengan rakan senegara

KUANTAN, 31 MEI: Pergaduhan tiga lelaki warga Indonesia berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kejadian di tepi jalan di Tringkap, Cameron Highlands malam tadi.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata dalam kejadian 11 malam itu, pekebun kontrak lelaki berumur 50 tahun yang memakai baju hitam serta seluar pendek ditemui orang awam terbaring berlumuran darah manakala rakannya ditemui parah kira-kira 500 meter daripada mayat mangsa.

“Berdasarkan siasatan dengan saksi, kita sudah kenal pasti suspek dan kini sedang mengesan suspek berumur 30-an,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq yang terbunuh dalam serangan berdarah Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, pada 17 Mei lalu di sini hari ini.

Yahaya berkata rakan mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau berkata sumbangan yang disampaikan hari ini bersama dengan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) adalah bagi membantu meringankan beban keluarga Allahyarham.

– BERNAMA


Pengarang :