Pemain Selangor FC ketika beraksi menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 2 November 2023. Foto Selangor FC
EXCOSELANGOR

Liga Super: Selangor tetap pamer aksi bertenaga meski tanpa Faisal Halim

SHAH ALAM, 18 MEI: Kerajaan Negeri yakin pasukan Selangor FC dapat mempamerkan aksi bertenaga dalam Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium MBPJ, malam ini.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata meski tanpa pemain sayap Faisal Halim ia tidak mematahkan semangat peserta lain yang turut memiliki bakat tersendiri.

“Kita yakin Selangor FC dapat mempamerkan persembahan bertenaga dan insya-Allah berbekalkan semangat bukan sahaja di peringkat masyarakat malahan pimpinan negeri kita yakin Selangor FC merangkul kemenangan sulung pada perlawanan esok (hari ini).

“Faisal memang tonggak utama pasukan tetapi pada masa sama kita juga memiliki barisan pemain yang berkeupayaan dan berkebolehan tinggi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Taklimat Penggerak Belia Selangor (PeBS) di Dewan Jubli Perak di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata aspek keselamatan pada perlawanan esok juga akan ditingkatkan bagi memastikan keselamatan pemain dan penonton terjamin.

Sebelum ini penyokong Gergasi Merah diseru menzahirkan solidariti buat pemain sayap kebangsaan itu dengan menjayakan kempen bangun dan tepuk pada minit ke-7 perlawanan Selangor FC menentang KDA FC.

Pengurusan Selangor FC turut melancarkan kempen solidariti terhadap Faisal dengan paparan mesej sokongan pada papan iklan statik dan elektronik di setiap pihak berkuasa tempatan.

Arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal atau dikenali sebagai Mickey cedera disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, pada 5 Mei lalu.

Faisal yang mengalami lecur tahap empat memasuki fasa pemulihan baharu iaitu rawatan rekonstruktif melibatkan pembaikan dan pemulihan struktur badan.


Pengarang :