Kakitangan Air Selangor melaksanakan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) pada 13 Oktober 2021. Foto Facebook Air Selangor
AGENDANASIONAL

Loji rawatan disenggara 5 Jun, Air Selangor gerakkan lori tangki

SHAH ALAM, 13 MEI: Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) akan melalui proses selenggara dan penggantian aset mulai 9 pagi dan dijangka siap jam 7 malam pada 5 Jun.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), kerja tersebut menyebabkan masalah penyaluran bekalan air di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Justeru, Air Selangor menggerakkan lori tangki air ke kawasan terlibat dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Bagi pelanggan komersial, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor di wilayah yang terjejas.

“Mereka juga boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka di Breamer Estet (Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (Sepang), serta Taman Banting Baru (Kuala Langat),” tulisnya di Facebook.

Kenyataan itu menyebut pengguna dijangka menerima bekalan secara berperingkat mulai jam 3 pagi pada 6 Jun setelah kerja tersebut selesai dan sistem agihan utama bekalan distabilkan.

“Air Selangor ingin menasihatkan pelanggan terjejas supaya menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan,” kata kenyataan di Facebook.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor melalui talian 15300 atau layari  https://www.airselangor.com/


Pengarang :