Aksi pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao ketika menentang pemain China Li Shi Feng pada peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone pada 4 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Malaysia Masters: Jun Hao, Jin Wei lepasi pusingan pertama

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Walaupun perlawanan diheret hingga 81 minit tidak menggoyahkan semangat juang pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao untuk menunjukkan jalan keluar kepada Lei Lan Xi dari China pada pusingan pertama Malaysia Masters 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Pemain di ranking ke-37 dunia itu yang ketinggalan 13-21 pada set pertama, bangkit pada dua set seterusnya dengan 23-21 dan 21-12 untuk menoktahkan kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

“Bagi saya bermain di sini (Malaysia) perlu beri yang terbaik. Saya tidak menyerah dan bermain sepenuh hati, itu yang membuatkan saya menang hari ini.

“Saya rasa (prestasi) bertambah baik kerana sekarang banyak bermain di kejohanan bertaraf tinggi. Saya teruskan satu demi satu dan langkah demi langkah untuk mencapai tahap yang lebih tinggi bagi diri saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengenai pendapat menyatakan pemain China sukar ditumpaskan, Jun Hao berkata setiap pemain mempunyai ‘lenggok’ tersendiri dan mengesan perbezaan itu akan membantu mereka menumbangkan pemain berkenaan.

Jun Hao seterusnya akan bertemu sama ada Toma Junior Popov dari Perancis atau pilihan ketiga kejohanan Li Shi Feng dari China.

Mengikuti jejak Jun Hao ialah perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei yang mengenepikan cabaran pemain Ukraine, Polina Buhrova, 21-16, 18-21 dan 21-14 untuk bertemu Busanan Ongbamrungphan dari Thailand pada pusingan kedua Malaysia Masters 2024, esok.

Mengikut rekod pertemuan sebelum ini, pemain berusia 24 tahun itu pernah ditewaskan Busanan sebanyak tiga kali iaitu di Indonesia Masters 2016, Terbuka Thailand 2016 dan Kejohanan Badminton Asia 2018.

— BERNAMA

 


Pengarang :