Pasukan hoki dalam dewan wanita negara meraih tempat ketiga selepas menewaskan Indonesia 4-0 pada perlawanan Piala Asia 2024 di Chonburi, Thailand, pada 16 Mei 2024. Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation
AGENDASUKANKINI

Malaysia raih tempat ketiga hoki dalam dewan Piala Asia 2024

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Skuad hoki wanita negara menamatkan kempen hoki dalam dewan Piala Asia 2024 di tempat ketiga selepas menewaskan Indonesia 4-0 pada perlawanan penentuan kedudukan di Chonburi, Thailand, semalam.

Kemenangan itu membolehkan skuad negara yang dibimbing Mohd Rodzhanizam Mat Radzi mengulangi pencapaian dilakar pada edisi 2010, 2012 dan 2022.

Tonggak pertahanan, Fazilla Sylvester Silin menjadi watak penting skuad negara apabila menjaringkan gol pembukaan seawal minit ketiga menerusi gol padang sebelum menghasilkan gol kedua peribadi pada minit ke-26 manakala Ellya Syahirah Ellias memanfaatkan pukulan sudut penalti minit ke-13.

Pemain pertahanan Juliani Mohamad Din melengkapkan kemenangan Malaysia dengan menyempurnakan penalti strok pada minit ke-34.

Pasukan hoki dalam dewan wanita negara meraih tempat ketiga selepas menewaskan Indonesia 4-0 pada perlawanan Piala Asia 2024 di Chonburi, Thailand, pada 16 Mei 2024. Foto Facebook Malaysian Hockey Confederation

Dalam pada itu Mohd Rodzhanizam bersyukur anak buahnya mempamerkan semangat memadam kehampaan tumpas tipis 1-2 di tangan tuan rumah pada aksi separuh akhir semalam untuk mengalahkan Indonesia, selaku naib juara edisi 2022.

Malaysia membuka tirai saingan Kumpulan A dengan membelasah Vietnam 25-0 dan Oman 12-1 pada Isnin sebelum tewas 1-5 kepada Kazakhstan dan mengesahkan slot ke separuh akhir dengan menumpaskan Iran 4-2, pada Selasa.

Malaysia pernah menjulang Piala Asia sekali selepas menewaskan Kazakhstan 2-1 ketika menjadi tuan rumah edisi sulung pada 2009 di Ipoh, Perak.

– BERNAMA


Pengarang :