Naskhah al-Qur’an tulisan tangan bertinta emas dari Terengganu antara bahan yang dipamer sempena Festival Turath Islami Selangor mulai 26 Mei hingga 2 Jun. Foto Ihsan Universiti Kebangsaan Malaysia
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Manuskrip al-Quran tulisan tangan berusia ratusan tahun di festival turath

SHAH ALAM, 22 MEI: Orang ramai berpeluang menyaksikan manuskrip al-Quran bertulisan tangan berusia hampir 400 tahun dalam pameran sempena penganjuran  Festival Turath Islami Selangor.

Ketua Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia berkata koleksi itu dibawa dari Muzium Al-Quran Narrathiwat, Thailand.

Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria memberitahu manuskrip al-Quran Acheh itu merupakan manuskrip tulisan tangan Sheikh Nuruddin Ar-Raniri berdasarkan penerangan pemiliknya Ustaz Lutfi.

“Selain mushaf al-Quran, terdapat juga manuskrip tulisan Sheikh Daud Al-Fatani, ulama besar Fatani yang berusia hampir 300 tahun,” katanya kepada Selangorkini.

Turut dipamer dalam Pameran al-Wahyu: Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu ialah kitab dari Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia dan koleksi individu.

Naskhah al-Quran bertinta emas yang dihasilkan ketika pemerintahan Sultan Terengganu ke-9, Sultan Ommar Muazzam Riayat Shah sekitar tahun 1800 juga diperaga.

Pameran tersebut berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini sepanjang festival siri kedua anjuran Kerajaan Selangor antara 26 Mei hingga 2 Jun.

Dr Ros Mahwati percaya pengunjung boleh mempelajari perkembangan sejarah tradisi ilmu Islam yang menjadi nadi perkembangan ilmu turath di alam Melayu melalui pameran berkenaan.

Festival itu menampilkan lebih 20 ulama terkenal, tokoh agamawan dan akademik dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura dalam 12 acara utama dan dijangka disertai 30,000 peserta.

Maklumat lanjut boleh dicapai melalui laman web www.turathislamiselangor.com atau Facebook Festival Turath Islami Selangor.


Pengarang :