Pasangan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas pada saingan suku akhir di Arena Porte de la Chapelle, Paris dalam kejohanan Terbuka Perancis pada 8 Mac 2024. Foto Facebook Persatuan Badminton Malaysia
AGENDASUKANKINI

Masters Malaysia: Aaron-Wooi Yik tekad akhiri kemarau tujuh tahun

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik optimis mampu mengakhiri kemarau tujuh tahun tuan rumah dalam kejohanan badminton Masters Malaysia 2024 bermula esok di Axiata Arena di sini.

Menjadi pilihan utama kejohanan dengan ketiadaan beberapa pasangan beregu terkemuka, juara dunia 2022 itu adalah antara pertaruhan terbaik negara untuk gelaran itu, sejak Tan Kian Meng-Lai Pei Jing merangkul gelaran beregu campuran pada 2017.

Aaron, bagaimanapun, menegaskan bahawa walaupun peluang mereka cerah untuk muncul juara di laman sendiri, rancangan mereka adalah untuk mencapai prestasi kemuncak pada Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadualkan dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

“Kami mempunyai peluang tinggi untuk menang tetapi masih perlu memberikan yang terbaik untuk memastikan kejuaraan. Sudah tentu, kami berharap untuk menang, tetapi prestasi puncak adalah di Sukan Olimpik.

“Kami sedang meningkat dengan baik dan berharap dapat konsisten dengan persembahan ini sehingga Sukan Olimpik. Kami tidak tidak merasai sebarang tekanan sebagai pilihan utama, untuk siri Jelajah Dunia, ia bukan mengenai pemain pilihan tetapi fokus kepada persiapan kami sendiri,” katanya kepada pemberita selepas latihan rasmi di sini hari ini.

Sementara itu, Wooi Yik berkata persiapan mereka cukup baik terutama dengan banyak analisis selepas Piala Thomas untuk meningkatkan prestasi.

“Kita ambil kejohanan ini sebagai ujian sebelum melangkah ke saingan yang lebih besar. Kita cuma fokus kepada permainan dan jaga kondisi diri kami …itu paling penting setakat ini.

“Sudah pasti, kita akan cuba sedaya upaya untuk bergelar juara di kejohanan Master Malaysia ini ,”katanya.

Aaron dan Wooi Yik masih menunggu lawan pusingan pertama mereka dari pusingan kelayakan, sebelum berdepan pemenang antara pemain China Chen Bo Yang-Liu Yi dan Bjarne Geiss-Jan Colin Voelker dari Jerman di pusingan 16 terakhir.

Selepas Super 500 Malaysia Masters,beregu nombor empat dunia itu akan beraksi di Terbuka Singapura dari 28 Mei hingga 2 Jun dan Terbuka Indonesia dari 4-8 Jun sebelum menumpukan perhatian sepenuhnya kepada persiapan Sukan Olimpik Paris.

Selain beregu utama negara, Malaysia mempertaruhkan beregu lelaki iaitu finalis edisi 2023, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Choong Hon Jian-Haikal Nazri, Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong.

– BERNAMA


Pengarang :