AGENDANASIONAL

Mayat pemancing lemas di Empangan Tasik Pedu ditemui

ALOR SETAR, 19 MEI: Mayat pemancing yang dipercayai lemas di Empangan Tasik Pedu, dekat Kuala Nerang pada Khamis lepas ditemukan hari ini.

Ketua Zon I Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata mayat lelaki berusia 50-an itu ditemukan terapung pada 8.05 pagi.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.20 petang Khamis lepas berhubung kejadian lemas yang melibatkan dua mangsa lelaki yang sedang memancing di tasik berkenaan dengan menaiki bot.

“Bagaimanapun, seorang daripada mangsa berusia 55 tahun berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada berhampiran kawasan kejadian manakala seorang lagi dipercayai lemas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi pencarian mangsa yang bermula sejak Khamis lepas turut membabitkan Unit Anjing Pengesan (K-9), Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dan Sungai Petani serta anggota BBP Kuala Nerang.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya.

—  BERNAMA


Pengarang :