Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap ketika Sesi Dialog Pondok Siyasah 2024 di Swiss-Garden Hotel, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 18 Mei 2024. 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Perkukuh Islam dan Melayu melalui ilmu, bakat serta adab

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Masyarakat Melayu dan Islam di negara ini boleh mengubah masa depan lebih baik melalui kelebihan ilmu, bakat dan adab, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sudah tiba masanya kumpulan masyarakat itu bangkit dengan keyakinan dan tidak lagi hidup dengan rasa penuh kecurigaan atau ditindas.

“Kita kalau mahu perkukuh Islam dan Melayu, kita kena tengok (mahu jadi) Melayu yang macam mana. Adakah kita mahu guna pendekatan Melayu tertindas atau mahu angkat Melayu yang penuh rasa curiga, sedangkan kita adalah majoriti.

“Kalau mahu bangkitkan, kita perlu sampaikan Melayu yang berkeyakinan. Keyakinan itu bukan sebab kuasa atau ketakutan orang pada kita, tetapi sebab keyakinan kita dengan ilmu, kebolehan dan juga adab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Sesi Dialog Pondok Siayasah 2024 di sebuah hotel di ibu negara, malam tadi. Turut hadir Pengarah Eksekutif Merdeka Centre Ibrahim Suffian.

Program inisiatif Team Selangor itu disertai 60 belia termasuk 20 peserta Pondok Siyasah fasa lanjutan yang terdiri daripada mahasiswa Selangor serta anak muda yang meminati wacana politik Islam.

Dalam pada itu, Amirudin menasihatkan golongan muda dan masyarakat Melayu secara amnya supaya tidak terperangkap apabila berbicara mengenai Islam, negara, kepimpinan dan politik.

Jelas Ahli Parlimen Gombak itu, aspek pentadbiran dan pengurusan tidak boleh berdiri secara retorik, sebaliknya perlu dinilai kepada keutamaan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Ini antara perkara yang kita perlu faham bahawa politik Islam dan nilai Islam, atau ia hanya retorik semata. Kalau dengan nilai Islam, kita akan dapat memahami apa keutamaan, berbanding hanya tengok ia sebagai imej semata.

“Seperti isu kafir mengkafir, ini politik yang memisahkan kita. Ia berbeza kerana prinsip Rasulullah S.A.W yang menyatukan semua agama dan bangsa di Madinah melalui piagam,” katanya.

 


Pengarang :