Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI Selangor Ahmad Azri Zainal Nor (dua, kanan) menyaksikan penyampaian sumbangan kepada penerima oleh Penyelaras DUN Gombak Setia Rahim Kasdi (dua, kiri) ketika program Serahan Sumbangan Bencana Kebakaran dan Bantuan Kewangan Daerah Gombak di Pusat Khidmat Penyelaras Dun Gombak Setia, Gombak pada 15 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI serah RM27,000 bantu sembilan keluarga mangsa kebakaran di Gombak

GOMBAK, 15 MEI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyerahkan sumbangan berjumlah RM27,000 kepada mangsa kebakaran di bawah Parlimen Gombak dalam kejadian Mac lalu.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata bantuan itu diberikan kepada sembilan keluarga yang kehilangan dan mengalami kerosakan tempat tinggal di Kampung Simpang Tiga (7), Kampung Harmonis Kuang (1) dan Kampung Taman Wilayah Selayang (1).

“Sumbangan buat keluarga yang terkesan di bawah kawasan Parlimen Gombak terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia.

“Walaupun jumlah sumbangan ini tidak dapat menggantikan jumlah keseluruhan kerugian, MBI berharap boleh membantu mereka untuk meneruskan kehidupan dan memenuhi keperluan keluarga,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Penerima menunjukkan sumbangan yang diterima ketika program Serahan Sumbangan Bencana Kebakaran dan Bantuan Kewangan Daerah Gombak di Pusat Khidmat Penyelaras Dun Gombak Setia, Gombak pada 15 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, Penyelaras DUN Gombak Setia Rahim Kasdi menyampaikan bantuan tersebut di pusat khidmat DUN berkenaan di sini hari ini.

Penerima sumbangan, Mohd NurFitri Bin Abdul Aziz, 42, berkata sumbangan wang tunai berjumlah RM3,000 disalurkan MBI memenuhi keperluan sekolah anaknya setelah menanggung kerugian besar akibat bencana itu.

“Kebakaran akibat litar pintas menyebabkan saya mengalami ‘total loss’ dan kerugian sejumlah RM4,000. Saya hargai bantuan MBI dapat meringankan beban,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima sumbangan Bestleaindo Gepili, 40, meluahkan rasa gembira dan bersyukur atas bantuan yang diberikan MBI.

“Bantuan ini meringankan beban memandangkan insiden kebakaran rumah saya di Kampung Sungai Tiga ‘total loss’ termasuk anggaran kerugian sebanyak RM30,000,” katanya.

Warga emas, Mustafa Hussain Mohamed Ahmad, 58, menggangap bantuan yang diterima merupakan rezeki setelah diuji kediamannya musnah terbakar.

“Insiden ini menyebabkan bahagian atas rumah saya hangus terbakar. Saya sekeluarga tidak sempat menyelamatkan dokumen penting. Jadi, saya sangat bersyukur dengan bantuan ini,” katanya.


Pengarang :