Datuk Bandar Shah Alam IR Cheremi Tarman bercakap kepada media pada program makan percuma anjuran MBSA di Medan Selera Prima Seksyen 2, Shah Alam pada 15 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA belanja RM17 juta senggara 1,200 pokok berisiko undang bahaya

SHAH ALAM, 15 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membelanjakan RM17 juta bagi memotong dan memangkas 1,200 pokok seliaannya yang dikenal pasti berisiko undang bahaya termasuk tumbang.

Datuk Bandarnya Ir Cheremi Tarman berkata setakat ini 500 pokok sudah disenggara oleh 87 kontraktor lantikan bagi mengelak kejadian tidak diingini dan memastikan keselamatan semua pihak terjaga.

“Majlis memperuntuk RM17 juta untuk kerja potong dan pangkas pokok ini. Setakat ini lebih 500 pokok sudah diselenggara termasuk terbang dan kerja dilakukan secara berterusan.

“Ada satu dua kes pokok tumbang namun hanya libatkan kerosakan harta benda. Kita selesaikan menerusi insurans berkelompok,” katanya selepas program agihan baucar makanan percuma hari ini.

Datuk Bandar Shah Alam IR Cheremi Tarman (tengah) memberi makanan kepada orang ramai ketika hadir pada program makan percuma anjuran MBSA di Medan Selera Prima Seksyen 2, Shah Alam pada 15 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Menurut Cheremi, pokok ditebang akan diganti dengan tanaman baharu yang mempunyai akar lebih kuat bagi manfaat masa panjang.

“Setiap pokok ditebang kita gantikan pokok baharu. Pokok baharu yang ditanam juga jenis daun kurang gugur. ” katanya.

Kejadian pokok tumbang yang menyebabkan 17 kenderaan dihempap pokok berkenaan akibat hujan lebat dan angin kencang di Jalan Sultan Ismail pada 7 Mei 2024. Foto BERNAMA

Keadaan cuaca tidak menentu ketika ini menyebabkan kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan termasuk ibu kota hingga mengorbankan seorang pemandu pada 7 Mei lalu.

Empat hari kemudian, dua batang pokok berusia puluhan tahun tumbang sebelum menghempap lima kenderaan di Jalan Macalister, Pulau Pinang.

Pada 13 Mei lalu, ribut dan hujan lebat turut menyebabkan pokok tumbang hadapan Kuwait Bank di Jalan Pinang, Kuala Lumpur yang hampir terkena kenderaan polis yang mengiring Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.


Pengarang :