Anggota Pasukan Pantas Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memotong dan mengalihkan pokok tumbang pada 1 September 2023. Foto Facebook MBSJ
PBTSELANGOR

MBSJ senggara ribuan pokok teduhan, pastikan keselamatan awam terjaga

SUBANG JAYA, 30 MEI: Ribuan pokok teduhan sudah disenggara oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) setakat ini bagi mengelak kejadian tidak diingini dan memastikan keselamatan awam terjaga.

Datuk Bandarnya Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata pihaknya turut menyediakan peruntukan tambahan bagi melaksanakan kerja memangkas dan menyelenggara pokok-pokok yang berisiko tumbang.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Ibu Pejabat MBSJ, Subang Jaya pada 22 Disember 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

“MBSJ tekad senggara pokok teduhan dan mengelak kejadian pokok tumbang. Setakat Mei ini, kita telah memangkas kira-kira 8,000 pokok berisiko tumbang dan 7,000 pokok lagi hingga hujung tahun.

“Manakala, aduan penduduk berkenaan pokok berisiko tumbang, MBSJ akan menyemak keadaan di tapak dan menilai tahap risikonya sebelum tindakan seterusnya diambil,” katanya.

Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat MBSJ di sini, Mohd Fauzi turut menggesa penduduk memberishkan kawasan kediaman bagi mencegah kes denggi.

“Kes demam denggi ketika ini dicatatkan 4,736 kes iaitu peningkatan 52 peratus berbanding minggu epidemik sama tahun lalu sebanyak 3,116 kes.

“Justeru, kita menggesa masyarakat melaksanakan kempen pencegahan 10 minit, bergotong-royong memusnahkan lokasi potensi tempat pembiakan Aedes,” katanya.

 


Pengarang :