Hospital Tanjong Karang, Kuala Selangor pada 9 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri: Doktor pelatih ditempatkan semula di hospital memerlukan

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan supaya menempatkan semula doktor pelatih (HO) di hospital daerah yang memerlukan dengan segera.

Menerusi hantaran di laman X semalam, beliau berkata segala langkah penambahbaikan jangka sederhana dan panjang juga sedang dilaksana oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya amat sedar dan insaf dengan keluhan petugas saban hari dan minggu. Dengan 147 hospital KKM dan lebih 3,000 klinik kesihatan di seluruh negara, pasti banyak aduan akan saya terima.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Foto BERNAMA

“Teruskan menghantar maklum balas dan kritikan (hanya elakkan kata-kata yang mengundang dosa). Saya akan terus ambil perhatian dan bertindak, sementara meneruskan pelbagai pembaharuan saya,” katanya.

Dzulkefly mengulas isu tular di laman sosial berkaitan hantaran gambar keluhan petugas perubatan yang ditulis di papan putih dipercayai berlaku di sebuah hospital di Kedah yang memohon maaf kepada pesakit kerana perlu menunggu lama untuk berjumpa doktor.

– BERNAMA


Pengarang :