Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (lima kanan) bergambar bersama sukarelawan selepas menanam benih bakau sempena Program Alam Be-Leaf Mangrove Tree Planting di Mangrove Point Pelabuhan Klang pada 12 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Faisal Halim tidak sabar jalani fisioterapi, mahu kembali beraksi

PELABUHAN KLANG, 12 MEI: Pemain Selangor FC Muhammad Faisal Abdul Halim sangat teruja untuk menjalani rawatan fisioterapi agar dapat segera kembali beraksi seperti sediakala.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata keadaan kesihatan pemain Harimau Malaya itu semakin baik selepas menjalani pembedahan ketiga dan sangat positif tentang keadaan dirinya.

“Beliau kelihatan cergas dan teruja tentang fisioterapi kerana ingin kembali beraksi,” katanya ditemui dalam Program Alam Be-Leaf Mangrove Tree Planting di sini hari ini.

Faisal Halim. Foto BERNAMA

Dalam pada itu, Hannah berkata Institut Sukan Negara (ISN) kini bekerjasama dengan doktor yang merawat Muhammad Faisal bagi memastikan perkembangan kesihatan selepas pembedahan anak jati Pulau Pinang itu berada pada landasan betul.

“Kita kena rujuk dengan doktor (kadar kesembuhan) dan doktor agak yakin Faisal sangat positif tentang diri sendiri. Ada atlet mungkin sedih dan merasakan tidak dapat melakukannya lagi, tetapi Faisal berbeza,” katanya.

Pada 5 Mei lalu, Muhammad Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya kira-kira 5 petang.

– BERNAMA


Pengarang :