PBTSELANGOR

MPKL mahu cipta rekod edar cendol, rojak percuma terbanyak

SHAH ALAM, 16 MEI: Sebanyak 2,024 cendol dan rojak akan diedarkan secara percuma kepada pengunjung sempena Festival Rojak dan Cendol Kuala Langat 2024 pada 26 Mei.

Berlangsung di Dataran Banting, Kuala Langat, ia akan diagihkan serentak bermula 11 pagi hingga 12 tengah hari dalam usaha memecah rekod Malaysia Book of Records (MBOR).

Menurut Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), program itu salah satu pengisian menarik dalam festival dua hari bermula 25 Mei dari 9 pagi hingga 10 malam.

“Jom cipta rekod MBOR makan rojak dan cendol serentak pada 26 Mei jam 11 hingga 12 tengah hari. Mari beramai-ramai memeriahkan festival ini bersama rakan dan keluarga,” katanya di Facebook.

Aktiviti lain termasuk pertandingan mewarna batik wau kapal, ratu kebaya cilik, cabaran teh tarik, eksplorasi gastronomi dan jom piknik keluarga bahagia yang menawarkan wang tunai sehingga RM1,000.

Selain itu, turut diadakan aktiviti zumba, bazar temasya, persembahan kebudayaan etnik Malaysia, jualan makanan dan minuman serta pameran suku Orang Asli Mah Meri.

Sebarang makumat lanjut hubungi 012-300 4891, 017-673 4374 (Hanim) atau 014-706 2560 (Hafiz).


Pengarang :