BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Naskhah falsafah Islam abad ke-12 tumpuan kajian pemikir Eropah

Oleh FATHI ARIS OMAR & NADIAH ZAMLUS

Anak kecil ini dibesarkan oleh ibu rusa. Di sebuah pulau terpencil, anak ini Hayy Ibn Yaqzan (ertinya: Hidup Anak Lelaki Sedar) membesar tanpa ajaran manusia, tanpa bahasa dan tanpa kitab suci.

Namun, bersama ibu rusa dan haiwan-haiwan lain, anak ini mampu menyelami persekitaran, berupaya berfikir dengan rasional dan dapat mengenali Tuhan pencipta alam luas dari tanah yang terpencil itu.

Pengetahuannya meningkat setiap tujuh tahun dalam tujuh peringkat hinggalah usianya 50 tahun. Kemudian, dari sebuah pulau lain, tibalah Absal di pulau Hayy setelah bertelagah dengan sahabatnya Salaman tentang dasar agama.

Absal yakin agama bukan sekadar amalan biasa seperti ditanggapi sahabatnya. Beliau percaya agama ada lapisan-lapisan makna lebih mendalam.

Sayangnya, apabila Hayy mula bergaul dengan manusia, dia sedar kebanyakan mereka hanya ikut-ikutan dan tiada kefahaman mendalam tentang Tuhan.

Apa yang cuba disampaikan Abu Bakar Muhammad Ibn Tufail (lahir 1105 – mati 1185), ulama hebat dari Andalusia, dalam karya ini sehingga ia berjaya mendapat sambutan hangat sehingga hari ini?

Menggunakan tiga watak sama dalam tulisan ulama besar Abu Ali al-Husain Ibn Sina (980-1037), novel falsafah Hayy Ibn Yaqzan cuba menjawab perbahasan Imam Abu Hamid Muhammad al-Ghazali (1058-1111) dalam kitab tasawufnya Mishkat al-Anwar.

Sementara Ibn Sina, seperti Abu al-Nasr al-Farabi (870-950), membahaskan pemikiran Aristotle (384-322 Sebelum Masihi), tokoh falsafah Greek dalam pelbagai bidang ilmu.

Sewaktu pertembungan idea memuncak di dunia Islam — termasuk antara filsafat Ibn Sina, al-Ghazali dan Abul Walid Muhammad Ibn Rushd (1126-1198) — Eropah sedang mencari-cari akar kebudayaannya.

Dari sinilah keghairahan itu muncul perlahan-lahan selama beratus-ratus sehingga mencetuskan krisis dalam agama Kristian. Susulan itu, beberapa edisi terjemahan Hayy Ibn Yaqzan menarik minat ramai.

Tangga ketiga

Edward Pococke menerbitkan Philosophus Autodidactus pada 1671, George Keith (An Account of the Oriental Philosophy, 1674), George Ashwell (The History of Hai Eb’n Yockdan, 1686) dan Simon Ockley (The Improvement of Human Reason, 1708).

Sebelas tahun selepas terjemahan Ockley, Daniel Dafoe (1660-1731) menghasilkan kisah pengembara hanyut di pulau dalam novel popularnya Robinson Crusoe.

“Jejak (idea) Ibn Tufail berbekas pada novel klasik (Eropah) itu,” kata Martin Wainwright, editor The Guardian. Tidak menghairankan. Terjemahan Hayy Ibn Yaqzan mendapat sambutan hangat pada zaman itu.

Dikatakan karya falsafah Islam ini berada di tangga ketiga sambutan selepas terjemahan al-Quran dan Hikayat Seribu Satu Malam. Cuma edisi terjemahan awal membuang teks al-Quran yang dimuatkan dalam karya asal Ibn Tufail.

Bagaimana karya ulama abad ke-12 tiba-tiba menjadi popular beberapa ratus kemudian? Dalam tempoh itu, susulan meluasnya idea al-Ghazali, falsafah Islam-Greek dan tasawuf mendapat perhatian dari Andalusia (Sepanyol) hingga ke Iraq.

Sarjana Yahudi dan Kristian turut mempelajari dan menterjemah kitab-kitab ulama dan ahli sains Islam, termasuk karya Ibn Tufail dan idea tokoh sezamannya Ibn Rushd.

Turut mengulas Hayy Ibn Yaqzan, Ibn Rushd pernah berkhidmat dengan khalifah Abu Yaakub Yusuf selepas Ibn Tufail. Beberapa sarjana lagi seperti Nuruddin Jami dan Ibn Nafis mengulas karya dan watak dalam Hayy Ibn Yaqzan.

Pembawa obor rasionalisme atas landasan Islam, Ibn Rushd dianggap penyumbang penting keilmuan baharu Eropah, bermula era Renaissance (Kebangkitan Semula) di Itali hingga Pencerahan serata Eropah.

Kelemahan diperbaiki

Tokoh yang menghargai karya Ibn Tufail ini termasuklah Albertus Magnus (1200-1280), Thomas Aquinas (1225–74), François-Marie Arouet atau Voltaire (1694–1778), Jean-Jacques Rousseau (1712–78) dan Denis Diderot (1713–84).

Begitu juga Baruch Spinoza (1632-1677), Gottfried Wilhelm Leibniz (1646-1716) dan John Locke (1632-1704), tokoh-tokoh penting zaman Pencerahan Eropah.

Kini, karya besar ulama itu diterjemah lebih lengkap dengan judul Manusia Asuhan Rusa oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), penerbit Siri Pencerahan Selangor sejak 2016.

Menerima dana Kerajaan Negeri, setelah usaha sama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, IBDE kini bekerjasama dengan Media Selangor Sdn Bhd.

Berkenalan dengan Hayy Ibn Yaqzan ketika masih menuntut di kampus 12 tahun lalu, penterjemahnya Mohamad Razif Mohamad Fuad menjelaskan karya Ibn Tufail “menggabungkan elemen-elemen falsafah, teologi, tasawuf dan sains.”

“Buku ini memberikan wawasan yang mendalam tentang pemikiran Islam klasik dan bagaimana ia berinteraksi dengan idea-idea falsafah Yunani,” katanya kepada Selangorkini pada 15 Mei.

(Wawancara lengkap dengan beliau berhubung karya ini dan proses penterjemahan Manusia Asuhan Rusa akan diterbitkan dalam Selangorkini edisi 13-19 Jun 2024).

Mohamad Razif percaya buku baharu ini memberi peluang kepada pembaca berbahasa Melayu memahami tradisi falsafah Islam.

“Saya telah baca beberapa naskhah terjemahan Hayy Ibn Yaqzan dalam bahasa Indonesia, Melayu dan Inggeris. Ada beberapa kelemahan (terjemahan lain) yang boleh diperbaiki dengan terjemahan saya ini.

“Saya tidak katakan terjemahan Hayy Ibn Yaqzan terbitan IBDE ini sempurna, tetapi saya dan kumpulan editor sentiasa memastikan ia hampir kepada kesempurnaan,” katanya.

Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur antara 24 Mei–2 Jun, buku ini dijual di gerai IBDE bernombor 4053–4060, Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur antara jam 10 pagi–10 malam.


Pengarang :