Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Setia Haris Kasim (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif KGSS, Mohd Zubir Idrus bergambar bersama piala kejohanan ketika sidang media Selangor International Junior Golf Championship 2024 dan PKNS Selangor Masters 2024 di Kelab Golf Seri Selangor pada 30 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Negeri anjur dua kejohanan golf berprestij, gilap pemain muda tempatan

PETALING JAYA, 30 MEI: Kerajaan Negeri akan menganjurkan dua kejohanan golf berprestij bulan depan bertempat di Kelab Golf Seri Selangor di sini.

Dato’ Menteri Besar berkata Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor berlangsung dari 13 hingga 15 Jun diikuti PKNS Selangor Masters dari 19 hingga 22 Jun.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, acara anjuran bersama UUM International School Melaka (UUMISM) dengan kerjasama Persatuan Golf Malaysia (MGA) menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam sukan tersebut.

“Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2024 disertai 120 pemain muda berusia 12 hingga 18 tahun dari 12 negara bagi kategori individu serta berkumpulan lelaki dan perempuan.

“Kerajaan Negeri juga akan membiayai pemain terbaik dari Selangor untuk melanjutkan latihan di UUMISM,” katanya pada sidang media kejohanan itu di Kelab Golf Seri Selangor hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama wakil penaja berserta cek cura penajaan ketika sidang media Selangor International Junior Golf Championship 2024 dan PKNS Selangor Masters 2024 di Kelab Golf Seri Selangor pada 30 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mengulas lanjut, katanya kejohanan berprestij PKNS Selangor Masters yang mendapat tajaan lebih RM3.75 juta akan disertai 144 peserta dari 25 negara.

“Dua kejohanan ini seiring komitmen Selangor untuk membangunkan sukan golf. Ia juga menjadi platform terutama pemain profresional terutama perserta dari Malaysia untuk meningkatkan kerjaya mereka dalam sukan ini.

“Kita harap dapat melihat pemain Malaysia dalam carta 10 teratas Jelajah Pembangunan Asia (ADT) Order of Merit yang akan memperoleh kad jelajah Asia mereka untuk 2025,” katanya.

 


Pengarang :