Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyampaikan Insentif Haji Muassasah kepada bakal jemaah di Masjid At-Tuqo, Tanjong Karang, Kuala Selangor pada 9 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Negeri naikkan Insentif Haji Muassasah kepada RM1,000, babit 6,000 jemaah

SHAH ALAM, 3 MEI: Kerajaan Negeri bersetuju meningkatkan Insentif Haji Muassasah dari RM500 kepada RM1,000 melibatkan 6,000 bakal jemaah haji pada tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia melibatkan peruntukan berjumlah RM6 juta meningkat tiga kali ganda berbanding jumlah insentif tahun lalu iaitu RM1.5 juta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika mengadakan sidang media di Dewan Annexe, Shah Alam pada 3 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Dari RM500 kita tambah jadi RM1,000 dan ia melibatkan implikasi RM3 juta (kepada Kerajaan Negeri). Sebelum ini RM3 juta adalah dana dari MBI ditambah dengan dana Kerajaan Negeri.

“Proses dan tempoh pendaftaran akan bermula 6 Mei hingga 23 Ogos yang akan diselaraskan secara bersama oleh pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN), pejabat penyelaras DUN dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI,” katanya

Bercakap dalam sidang media di sini hari ini, Amirudin menjelaskan bakal jemaah boleh membawa salinan bercetak jadual penerbangan haji muassasah 2024 dengan paparan KOD MUAS untuk tujuan pendaftaran Insentif Haji Muassasah Kita Selangor.

“Sebagaimana sedia maklum kita akan turut menaja 36 jemaah secara keseluruhannya untuk melaksanakan ibadah haji yang turut diraikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj) pada kursus haji perdana yang lalu,” katanya.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (tengah) bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada majlis penyempurnaan Kursus Perdana Haji peringkat Selangor 2024 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 28 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin dalam titahnya ketika menyempurnakan Kursus Perdana Haji Peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 28 April lalu memaklumkan seramai 8,061 jemaah haji Selangor bakal menunaikan haji pada tahun ini.

Baginda turut berharap jemaah haji kekal berdisiplin ketika menunaikan ibadah di tanah suci kelak dan dapat menumpukan perhatian dalam menunaikan ibadah dan menjaga nama baik negeri dan negara.


Pengarang :