AGENDAJENAYAH

Nelayan, pembantu kedai makan didakwa edar dadah

TAIPING, 13 MEI: Seorang nelayan dan pembantu kedai makan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 21,037.10 gram pada awal bulan ini.

Mohd Fauzi Mohd Mokhtar, 42, dan Dzulkarnai Maliki, 47, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan serentak di hadapan Majistret Nur Atiqah Sapari, namun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Mohd Fauzi dan Dzulkarnai didakwa bersama-sama mengedar dadah itu di kawasan tempat letak kereta di hadapan bangunan Kedai Lam Loong Pohto House Sdn Bhd, Jalan Medan Simpang di sini pada kira-kira 11.15 malam 3 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Nishaalini, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 12 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.

— BERNAMA

 


Pengarang :