SEPANG, 27 MEI: Impian masyarakat Orang Asli untuk memiliki kediaman selesa tercapai selepas dipilih sebagai penerima program bantuan rumah negeri.
Ibu kepada empat orang anak, Jiah Chiti, 46, berkata inisiatif negeri itu membantunya memiliki tempat tinggal tiga bilik bagi menggantikan rumah yang uzur.
“Sukar untuk gambarkan perasaan. Saya amat bersyukur kerana rumah baharu ini memberi keselesaan untuk anak-anak termasuk seorang yang masih bersekolah.
“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri jaga kabajikan semua kaum dan semua golongan. Terima kasih juga kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang membantu permohonan hingga impian termakbul,” katanya.
Beliau ditemui selepas menerima kunci yang diserahkan Penolong Pengarah (Seksyen Sektoral) Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Idayuamimah Ibrahim di Kampung Orang Asli Bukit Jenuk, Dengkil di sini, hari ini. Hadir sama Pengurus Kanan Jabatan Teknikal dan Pengurusan Bangunan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Kamarul Zaki Khalid.
Bagi Rapiah Sitip, 60, selama ini dia dan suami yang terlantar sakit hanya tinggal di pondok yang terletak di belakang rumah baharu itu.
“Suami saya terlantar sakit sejak sekian lama mengalami lumpuh kini dijaga oleh anak saya di pondok sementara terletak di belakang rumah baharu sepanjang ia dibina.
“Terima kasih Kerajaan Negeri. Sudah lama menunggu rumah ini untuk saya, saya rasa sangat seronok dan ambil cuti bekerja untuk terima kunci rumah,” kongsinya.
Rumah jenis satu tingkat itu dibina di bawah Program Bina Rumah Baru dan Baik Pulih 2023 untuk masyarakat Orang Asli di Selangor hasil inisiatif Kerajaan Negeri.
Terdahulu, Idayuamimah Ibrahim memaklumkan Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal orang Asli memperuntukkan sejumlah RM950,000 bagi 13 unit pembinaan di bawah program tersebut.