Naskhah al-Qur’an tulisan tangan bertinta emas dari Terengganu antara bahan yang dipamer sempena Festival Turath Islami Selangor mulai 26 Mei hingga 2 Jun. Foto Ihsan Universiti Kebangsaan Malaysia
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peluang lihat manuskrip al-Quran tulisan tangan berusia ratusan tahun di festival turath

SHAH ALAM, 25 MEI: Orang ramai dipelawa melihat manuskrip al-Quran tulisan tangan berusia ratusan tahun sempena Festival Turath Islami Selangor yang membuka tirainya esok.

Dato’ Menteri Besar berkata Pameran Al-Wahyu di Dewan Seminar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini boleh dikunjungi sepanjang festival hingga 2 Jun.

“Sempena Festival Turath Islami Selangor, orang ramai berpeluang melihat sendiri manuskrip mashaf al-Quran tulisan tangan yang telah berusia 500 tahun warisan dari alam Melayu Nusantara,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Koleksi yang dibawa dari Muzium Al-Quran Narrathiwat, Thailand turut mempamerkan kitab dari Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia dan koleksi individu.

Naskhah al-Quran bertinta emas yang dihasilkan ketika pemerintahan Sultan Terengganu ke-9, Sultan Ommar Muazzam Riayat Shah sekitar tahun 1800 juga diperaga.

Festival siri kedua anjuran Kerajaan Selangor menampilkan lebih 20 ulama terkenal, tokoh agamawan dan akademik dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura dalam 12 acara utama dan dijangka disertai 30,000 peserta.

Maklumat lanjut boleh dicapai melalui laman web www.turathislamiselangor.com atau Facebook Festival Turath Islami Selangor.


Pengarang :