AGENDAJENAYAH

Pemandu kereta dikejar polis 15km selepas pukul warga asing

BUKIT MERTAJAM, 13 MEI: Tindakan seorang lelaki yang enggan memberhentikan keretanya selepas diarahkan Unit Kereta Peronda (MPV) polis berakhir dengan penahanannya di Plaza Tol Sungai Nyior, Lebuhraya Butterworth/Kulim (BKE) setelah dikejar lebih 15 kilometer seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Helmi Aris berkata hasil pemeriksaan awal mendapati kejadian yang berlaku kira-kira 3.30 petang semalam bermula apabila anggota MPV cuba menahan kereta dipandu lelaki tempatan kerana disyaki memukul seorang lelaki warga asing di Pusat Perniagaan Alma, dekat sini.

“Semasa anggota MPV menghampiri kereta dipandu lelaki tersebut, dia telah bertindak memecut kenderaannya dan pihak polis mengejar serta mengarahkan pemandu tersebut supaya berhenti namun suspek enggan berbuat demikian malah dia juga telah melanggar sebuah motosikal di persimpangan Jalan Jaya Gading, di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, lelaki itu berjaya ditahan di Plaza Tol Sungai Nyior dan pemeriksaan dalam kenderaan menemui botol plastik yang telah diubah suai disyaki untuk menghisap dadah, mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan ujian air kencing positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, lelaki yang berusia 40-an itu direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 dan 323 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta mendatangkan cedera dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu tular di media sosial dua video masing-masing berdurasi 32 saat yang memaparkan sebuah kereta yang dipandu laju dan berbahaya di kawasan Seberang Jaya, di sini kerana cuba meloloskan kenderaan dari ditahan MPV yang mengejarnya.

-BERNAMA


Pengarang :