AGENDAJENAYAH

Penganggur ditahan bersama beg galas mengandungi 9.2 kilogram heroin

IPOH, 14 MEI: Penganggur direman enam hari bermula hari ini hingga Ahad bagi membantu siasatan berkaitan penemuan 9.2 kilogram (kg) dadah disyaki heroin bernilai RM115,000 di Pengkalan Jaya di sini, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata lelaki berusia 47 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah itu ditahan 1.15 tengah hari oleh sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai satu beg galas berzip di dalamnya berisi 20 bungkusan plastik lut sinar yang dipercayai dadah jenis heroin seberat 9.2 kg.

“Lelaki itu didapati positif dadah jenis morfin dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil semakan lanjut mendapati aktiviti pengedaran dadah itu didalangi sindiket yang dipercayai aktif sejak awal bulan ini.

Menurut Mohd Yusri dadah dirampas itu disyaki untuk edaran pasaran tempatan dan boleh digunakan 12,000 penagih.

Polis katanya turut menyita wang tunai berjumlah RM250 daripada lelaki terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

– BERNAMA


Pengarang :