AGENDANASIONAL

Perdana Menteri hulur sumbangan kepada penuntut UniMAP selepas kebakaran

ARAU, 14 MEI: Nasib pelajar yang terkesan susulan kebakaran di aras bawah Blok B Kompleks Perumahan Pauh Putra Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini Sabtu lalu, mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Pengetua kompleks berkenaan Mohd Syamril Aklmar Chek Kassim berkata pihaknya berbesar hati atas keprihatinan Anwar yang juga Menteri Kewangan, yang menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 36 pelajar selepas motosikal mereka mengalami kerosakan akibat kebakaran itu.

Mohd Syamil Aklmar berkata sumbangan berkenaan disampaikan Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim yang turut meninjau lokasi kejadian.

“Lapan pelajar menerima sumbangan hari ini manakala selebihnya diberi kemudian kerana mereka telah pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata 564 pelajar terjejas akibat kebakaran itu dan anggaran kos baik pulih bangunan yang terjejas belum diputuskan.

Pada 11 Mei lalu, media melaporkan 26 motosikal musnah dan 10 lagi mengalami kerosakan kecil selepas kawasan parkir asrama lelaki UniMAP itu terbakar pada awal pagi.

Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi dipetik sebagai berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 4.43 pagi.

– BERNAMA


Pengarang :