AGENDANASIONAL

Peserta Selangor juara hafazan 20 juzuk, MB ucap tahniah

SHAH ALAM, 29 MEI: Dato’ Menteri Besar mengucapkan tahniah kepada Fatihatul Badriyah Mohd Abd Latif Hilmi yang memenangi acara hafazan 20 juzuk (hafizah) dalam majlis tilawah kebangsaan malam tadi.

Ucapan penghargaan disampaikan Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Facebook rasminya pagi ini, yang turut memaparkan markah diraih peserta dari Sabak Bernam itu sebanyak 94.80 peratus.

“Tahniah diucapkan kepada saudari Fatihatul Badriyah Mohd Abd Latif Hilmi dari Sabak Bernam yang berjaya meraih tempat pertama dalam hafazan al-Quran tahap 1-20 juzuk (hafizah) pada majlis tilawah dan hafazan al-Quran peringkat kebangsaan 2024,” tulisnya.

Dalam majlis penutup yang berlangsung di Kuantan malam tadi, hafiz bagi kategori sama dimenangi peserta dari Johor Muhammad Asyraf Amir.

Qari dari Negeri Sembilan Mohamad Husaini Mahmur dinobatkan sebagai johan tilawah al-Quran, manakala Nor Hidayah Abd Rahman dari Terengganu johan kategori qariah.

Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Pahang berlangsung selama enam hari bermula 23 Mei dan menampilkan 110 peserta dari seluruh negara.


Pengarang :