Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 10 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Polis siapkan fotofit individu simbah asid terhadap Faisal

SHAH ALAM, 11 MEI: Polis dalam proses menyiapkan fotofit individu disyaki terbabit dalam kes simbahan asid terhadap pemain Selangor FC, Faisal Halim.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi memastikan dalang serangan dihadapkan ke mahkamah, lapor Harian Metro.

“Buat masa ini, hari ini kita akan buat fotofit, daripada situ kita akan kumpul lagi maklumat. Kalau mengikut Datuk Seri Pengarah JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) cap jari akan diambil untuk dikaji,” katanya.

Setakat ini, Razarudin menjelaskan lebih 12 individu sudah dirakam keterangan termasuk mangsa sendiri, ahli keluarga, pengawal keselamatan di lokasi, doktor dan individu berkepentingan.

Sebelum ini dilaporkan Faisal yang mengalami lecur tahap empat memasuki fasa pemulihan baharu iaitu rawatan rekonstruktif melibatkan pembaikan dan pemulihan struktur badan.

Ahad lepas, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal cedera akibat disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

 


Pengarang :