AGENDAJENAYAH

Polis tahan lelaki mabuk ceroboh balai, cuba rampas senjata api

GEORGE TOWN, 19 MEI: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun selepas disyaki menceroboh Balai Polis Dato’ Keramat di sini dan cuba merampas senjata api milik anggota sentri dalam kejadian awal pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata suspek yang berada di bawah pengaruh alkohol itu datang ke balai berkenaan pada kira-kira 4 pagi dan menyuruh anggota bertugas membuka pintu pagar sambil mengeluarkan kata-kata kesat.

“Anggota itu memberi amaran dan menasihati suspek untuk beredar meninggalkan kawasan balai namun suspek tidak menghiraukan nasihat serta amaran yang diberikan.

“Sebaliknya, suspek terus menghampiri anggota bertugas dan cuba merampas senjata jenis HK MP5 daripada anggota berkenaan tetapi berjaya dihalang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah berkata suspek kemudian cuba menyerang anggota terbabit dengan topi keledar sehingga berlaku pergelutan sebelum suspek ditahan.

Suspek didapati mempunyai empat rekod lampau iaitu dua kes berkaitan jenayah dan dua lagi melibatkan dadah manakala hasil ujian air kencing negatif dadah.

Beliau berkata suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 kanun sama serta Sekysen 90 Akta Polis 1967.

— BERNAMA


Pengarang :