Calon Pakatan harapan (HARAPAN) Pang Sock Tao mengangkat tangan kepada media selepas diisytihar memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu di Bilik Gerakan Kerajaan Perpaduan Selangor, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 11 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PRK DUN Kuala Kubu Baharu isyarat rakyat mahu kerajaan stabil

SHAH ALAM,12 MEI: Kemenangan Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu semalam isyarat bahawa rakyat ingin pentadbiran kerajaan yang stabil.

Penyelaras DUN Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad berkata kemenangan itu juga jelas menunjukkan rakyat mahu mengekalkan perpaduan dibina antara Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional.

“Saya melihat kemenangan di Kuala Kubu Bharu sebagai ‘signal’ penerimaan kepada pentadbiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini bukti penerimaan terhadap Kerajaan Perpaduan selain rakyat semakin letih dengan kisah-kisah kerajaan pintu belakang sebelum ini…mereka inginkan kestabilan dalam pentadbiran.

“Di bawah Kerajaan Perpaduan, kita sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat dan meneruskan pembangunan,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata kemenangan Pang Sock Tao membuktikan peranan golongan muda semakin diiktiraf demi kebaikan masa depan.

“Dalam pentadbiran kita masih memerlukan kepimpinan ‘senior’ tetapi dalam masa sama perlu ditonjolkan golongan muda yang mampu berkhidmat dan mempunyai pemikiran kritis.

“Saya yakin dengan kemenangan ini, beliau (Sock Tao) akan membawa suara generasi muda dalam memastikan Selangor terus ke depan,” katanya.

Kerajaan Perpaduan mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu dengan memperoleh majoriti 3,869 undi dalam pertembungan empat penjuru.

Sock Tao,31, memperoleh 14,000 undi menewaskan Khairul Azhari Saut mewakili Perikatan Nasional yang mendapat 10,131 undi sementara Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin 152 undi dan Bebas, Nyau Ke Xin hanya 188 undi.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac selepas bergelut melawan barah beberapa tahun lalu.

PRK Kuala Kubu Baharu ialah PRK ketujuh diadakan selepas pilihan raya umum ke-15. Seramai 40,226 pengundi berdaftar di DUN tersebut termasuk polis dan tentera.


Pengarang :