Persidangan Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor di Bangunan Wisma DNS, Shah Alam pada 28 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Program ADN muda gilap bakat kepimpinan, buat keputusan peringkat tinggi

SHAH ALAM, 29 MEI: Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor mendedahkan generasi belia mengenai proses membuat keputusan di peringkat tertinggi sesebuah negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu juga menggilap bakat kepimpinan golongan terbabit sebagai pelapis masa depan.

“ADN muda satu pendekatan yang baik kerana ia memberi peluang kepada (anak muda) seperti pimpinan Majlis Belia, badan bukan kerajaan (NGO) serta individu merasai pengalaman dalam dewan negeri (Dewan Negeri Selangor).

“Dalam masa sama mereka juga didedahkan bagaimana proses membuat keputusan di peringkat negeri yang akan memberi situasi lebih jelas kepada masyarakat bagaimana proses pembuatan keputusan peringkat tertinggi diputuskan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan penyerahan hadiah cabutan bertuah Program Madani Rakyat 2024 (Zon Tengah) kepada penerima hadiah utama di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) menyerahkan hadiah cabutan bertuah berupa sebuah kereta Perodua Myvi kepada pemenang Ahmad Zulkhairi Muhamad ketika majlis penyerahan untuk Program Madani Rakyat 2024 (Zon Tengah) di luar Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 29 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin berkata mendedahkan peserta mengenai bagaimana suatu dasar dibincangkan seterusnya diputuskan sangat penting sebagai pengetahuan baharu kepada masyarakat.

“Mengetahui proses dan suasana itu penting. Ia amalan demokrasi (yang diamalkan). Kita memang terbuka dengan semua pandangan termasuk memberi ruang kepada anak muda untuk bersuara,” katanya.

Semalam, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Lau Weng San memuji potensi diserlahkan peserta program tersebut yang menunjukkan perbahasan berkualiti, memiliki pengetahuan luas berkaitan isu semasa serta dasar dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Program tahun ini yang berlangsung selama dua hari berakhir semalam turut mendapat kerjasama Persatuan Pendemokrasian Sosial dan Ahli Parlimen Belia Selangor.

Ia ditawarkan kepada pelajar serta belia berusia dari 18 hingga 35 tahun dan kelebihan menganggotai pertubuhan bukan kerajaan, penggerak belia tempatan serta mana-mana persatuan.

Penganjuran sejak 2013 merupakan program khas bawah DNS bagi melahirkan belia berfikiran kritis khususnya berkaitan polisi Kerajaan Negeri.


Pengarang :